PRU-15 wajar ditangguhkan beberapa bulan lagi – Khairy

Masa Membaca:1 Minit, 35 Saat

BANDA HILIR 5 Jun – Penangguhan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dilihat wajar untuk beberapa bulan lagi sehingga fasa peralihan endemik berjaya membuktikan tiada gelombang COVID-19 yang serius.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, meskipun Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bersedia memastikan keselamatan sekiranya PRU diadakan namun ia wajar ditangguhkan pada ketika ini.

Beliau berkata, banyak faktor perlu diteliti, malah gesaan untuk mengadakan PRU-15 dalam masa terdekat bukan datang daripada rakyat sebaliknya lebih kepada gesaan parti politik.

“Bagi saya sebagai menteri kita sudah berjaya di Melaka dan Johor, kalau terpaksa diadakan PRU-15 saya rasa boleh untuk KKM menjaga kesihatan awam dan pastikan dapat dilaksanakan dengan selamat.

“Tetapi kalau kita hendak cermat, betul-betul mahu jaga kesihatan awam kita boleh tunggu dulu sehingga beberapa bulan lagi peralihan ke endemik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Agenda Nasional Malaysia Sihat (AMNS) dan Sambutan Hari Denggi Asean Dan Gotong-Royong Mega 1.0 ‘Perangi Aedes’ Peringkat Kebangsaan yang dirasmikan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali di Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan, hari ini.

Hadir sama EXCO Kesihatan Dr Muhamad Akmal Saleh dan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM) Dr Rusdi Abd Rahman.

Menurut beliau, pelaksanaan PRU-15 dan Pilihan Raya Negeri (PRN) mempunyai perbezaan kerana ia membabitkan skala yang besar termasuk permintaan mengadakan ceramah oleh parti politik.

Sementara itu, Khairy turut mengingatkan ahli politik supaya tidak membuat kenyataan mengelirukan rakyat dengan mengatakan negara sudah tamat pandemik dan memasuki fasa endemik.

“Negara masih lagi dalam fasa peralihan ke endemik selain Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) belum lagi mengumumkan COVID-19 sebagai Public Health Emergency of International Concern yang boleh ditamatkan.

“Fakta perlu betul, dia (Ketua Pergerakan Pemuda UMNO) sebut pandemik sudah tamat di Malaysia, itu tidak betul. Kita masih lagi dalam fasa peralihan ke endemik. Bila sudah diumumkan nanti Malaysia juga akan buat pengumuman,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1025
Kongsi :
Previous post Bekalan tepung gandum dalam negara mencukupi – KPDNHEP
Next post 295 jemaah haji Malaysia selamat tiba di Madinah
Ubah saiz-+=