PSF beri kebenaran bersyarat untuk Indonesia jadi tuan rumah Sukan Para ASEAN
KUALA LUMPUR, 15 Jan – Lembaga Gabenor (BoG) Persekutuan Sukan Para ASEAN (APSF) mengundi memihak kepada Indonesia untuk menjadi tuan rumah Sukan Para ASEAN ke-11 (APG) selepas Vietnam membuat keputusan menangguhkan temasya sukan itu tahun lepas atas alasan pandemik COVID-19.
Indonesia telah mencadangkan agar APG itu diadakan di Solo (Surakarta) dari 20 hingga 31 Julai tahun ini dan menawarkan 13 acara di pelbagai venue sekitar bandar Jawa Tengah di mana berlangsungnya edisi keenam sukan berkenaan pada 2011.
Bagaimanapun, APSF menyatakan bahawa kebenaran itu adalah bersyarat dan tertakluk kepada Indonesia dikeluarkan daripada sekatan yang dikenakan oleh Agensi Anti-Doping Dunia (WADA) susulan ‘ketidakpatuhan’ dalam melaksanakan program ujian secara berkesan.
Menurut APSF, dalam mesyuarat tergempar yang berlangsung secara maya semalam dan dihadiri wakil lapan negara termasuk Malaysia, majoriti Presiden Jawatankuasa Paralimpik Kebangsaan (NPC) setuju dengan permohonan Indonesia untuk menjadi hos alternatif sukan itu.
Indonesia dibenar menganjurkan temasya sukan itu selepas enam negara mengundi menyokong manakala satu menentang. Singapura dan Brunei tidak hadir manakala Indonesia, sebagai pihak berkepentingan, dikecualikan daripada proses undian.
Presiden APSF Mejar Jeneral Osoth Bhavilai berkata meskipun isu komitmen kerajaan, sokongan dan pembiayaan telah selesai, Indonesia kini mempunyai tempoh sebulan hingga 15 Feb untuk meyakinkan WADA agar menarik balik sekatan.
“BoG akan mengadakan mesyuarat khas pada 17 Feb untuk membincang dan memastikan bahawa semya syarat termasuk prosedur COVID-19 yang ketat dipenuhi sebelum secara rasmi mengumumkan Indonesia sebagai tuan rumah APG ke-11,” menurutnya dalam satu kenyataan.- BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.