PSMJ 2035 bakal jadi dokumen ‘hidup’ rujukan pemimpin akan datang

Masa Membaca:1 Minit, 58 Saat

AYER KEROH 8 Mac – Pelan Strategik Melakaku Maju Jaya 2035 (PSMJ 2035) yang dilancarkan secara rasmi hari ini bakal menjadi dokumen hidup (the living document) yang boleh dijadikan rujukan pemimpin akan datang.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, dokumen atau kitab besar yang dihasilkan itu disifatkan sebagai sebuah pelan strategik, holistik dan komprehensif yang dirangka untuk tempoh 15 tahun serta melewati Rancangan Malaysia ke-12, 13 dan 14.

Jelasnya, PSMJ 2035 adalah satu kesinambungan serta wawasan daripada pemimpin terdahulu yang telah diolah mengikut peredaran zaman dalam usaha mengembalikan kegemilangan Melaka seperti mana 750 tahun lalu.

SULAIMAN secara rasmi melancarkan PSMJ 2035 pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kerajaan Negeri dan Majlis Pelancaran Pelan Strategik Melakaku Maju Jaya 2035, di Grand Ballroom MITC.

“Kepada pemimpin di masa akan datang, benda (dokumen) sudah saya siapkan. Kalau perlu ditambah baik mengikut tuntutan zaman pada ketika itu, dipersilakan. Tetapi inilah rujukan atau kitab yang boleh dijadikan panduan.

“Saya tidak buat benda ini (PSMJ 2035) untuk saya. Ia juga bukan untuk pemimpin serta Exco yang ada sekarang. Tetapi ia dibuat untuk generasi akan datang.

“Kalau bukan untuk anak kita, Insyaallah untuk anak cucu kita di masa akan datang supaya kita mesti persiapkan ruang serta peluang kepada generasi ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melancaran Pelan Strategik Melakaku Maju Jaya 2035 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), hari ini.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Dr Hasim Hasan.

SULAIMAN..PSMJ 2035 bakal jadi dokumen hidup yang boleh dijadikan rujukan pemimpin akan datang.

Mengulas lanjut, Sulaiman berkata, pihaknya berharap pelan berkenaan dapat disokong oleh semua pihak, selain turut dijadikan rujukan utama semua agensi kerajaan di negeri ini yang mana ia perlu diterjemahkan menjadi pelan tindakan konkrit dan petunjuk prestasi utama bagi mencapai kecemerlangan pentadbiran di negeri ini.

“PSMJ 2035 akan menjadi detik bersejarah untuk kita melakar hala tuju perjalanan jauh di atas kanvas baharu yang akan membawa Melaka menjunjung masa depan yang cerah dan gemilang.

“Dengan lima Melaka Key Result Area (MKRA) dan lapan ‘flagship’ atau tema pembangunan yang ditetapkan bagi memacu pembangunan Melaka untuk tempoh 15 tahun akan datang, saya berharap ia mendapat sokongan semua pihak,” ujarnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

735
Kongsi :
Previous post Berusaha, berdoa serta bertawakal- Radzi
Next post Kurangkan pengambilan garam, cegah hipertensi- Dr Noor Hisham
Ubah saiz-+=