Pulangkan wang pengunjung tercicir, Mohd Nor naikkan imej Melaka, Perzim

Masa Membaca:1 Minit, 54 Saat

BANDA HILIR 6 April – Sikap amanah seorang kakitangan Perbadanan Muzium Melaka (Perzim), memulangkan wang tunai RM500 milik pengunjung yang tercicir mendapat ganjaran sewajarnya apabila ditawarkan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC).

Mohd Nor Abd Rahman, 41, diraikan pada majlis khas semalam oleh Pengerusi Lembaga Pengarah Perzim, Datuk Akramuddin Abdul Aziz dan Pengurus Besarnya, Mohd Nasruddin Rahman.

Pada majlis sama Mohd Nor turut menerima sijil penghargaan sebagai menghargai kejujurannya.

Menurut Akramuddin, Mohd Nor telah menunjukkan nilai integriti yang tinggi dan sewajarnya mendapat perhargaan atas nilai-nilai murni yang dipamerkan oleh kakitangan tersebut.

“Saya cadangkan kepada pihak pentadbiran Perzim agar dapat menyenaraikan Mohd Nor sebagai antara kakitangan yang mendapat APC akhir tahun ini.

“Ini berdasarkan integriti dan sikap cemerlang yang ditunjukkan beliau dan pada masa yang sama, kita merasakan wajar juga kita raikan mana-mana kakitangan lain yang pernah berbuat demikian seperti beliau,” katanya.

Menurut Akramuddin, tindakan Mohd Nor itu bukan sahaja mempamerkan integriti yang tinggi malah menaikkan imej serta nama baik negeri Melaka dan Perzim.

Katanya, ia bukanlah kejadian pertama kakitangan Perzim memulangkan wang tunai atau barangan berharga milik pengunjung yang tercicir.

“Tahun lepas sahaja, ada dua atau tiga kes kakitangan Perzim memulangkan barangan berharga kepada pengunjung, kalau barang tidak dituntut, ia akan disimpan selama tiga bulan,” ujarnya.

Sementara itu, Mohd Nor berkata, dia menjumpai wang tunai tersebut berselerakan di atas rumput dalam kawasan letak kereta Muzium Kapal Selam sewaktu meronda di kawasan itu pada 1 April lalu.

Katanya, kejadian itu bukanlah pertama dilaluinya kerana sebelum itu dia pernah menjumpai beg pengunjung yang mengandungi wang tunai dan beberapa barang berharga dua tahun lalu.

“Tetapi ketika itu, saya hanya menyerahkan semula barang tersebut kepada pemiliknya setelah dia datang menuntut di kaunter muzium.

“Berbeza kali ini, kejadian terbaru ini ditularkan oleh rakan setugas dan mendapat perhatian pihak pentadbiran Perzim.

“Saya rasa sesiapa sahaja yang menjumpai wang tunai tersebut akan memulangkan kepada pemiliknya kerana itu bukan hak kita, wajarlah dipulangkan kepada empunya,” katanya.

MOHD Nor menunjukkan sijil penghargaan diterima.

Dia yang sudah berkhidmat sebagai pembantu operasi Muzium Kapal Selam sejak 20 tahun lalu berharap apa dilakukan menjadi teladan dan contoh kepada orang lain untuk sentiasa berbuat baik kepada sesiapa sahaja walaupun tiada pertalian bangsa atau agama.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1156
Kongsi :
Previous post 237 asnaf terima ayam percuma
Next post 5,087 penjawat awam Melaka terima bantuan kewangan Aidilfitri – Sulaiman
Ubah saiz-+=