Pulau Konet: Selesaikan isu sampah jadi fokus utama
KUALA SUNGAI BARU 18 Julai – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Linggi, Rosli Abdullah bersama pihak berkenaan akan merangka pelan bagi memulihara dan mengindahkan Pulau Konet dan lokasi sekitarnya sebelum diangkat sebagai lokasi pelancongan baharu di negeri ini.
Beliau berkata, isu pembuangan sampah di kawasan terbabit dianggap serius dan perhatian segera perlu diambil sebelum keadaan menjadi semakin teruk.
“Saya akan bekerjasama dengan agensi dan penduduk, mengikut cadangan program gotong-royong akan diadakan agar sedap mata memandang.
“Semua ini ini antara usaha untuk buka satu lagi lokasi tumpuan pelancongan di Melaka, jadi saya amat berharap pengunjung agar lebih bertanggungjawab.
“Bersama-sama kita hargai dengan menjaga kebersihan kawasan berkenaan jangan buang sampah merata-rata, ini adalah warisan alam yang kita kongsi dengan semua,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Rosli berkata, beberapa lagi inisiatif lain kini dalam perancangan juga akan dilaksanakan menerusi bantuan kerajaan negeri, sekali gus merealisasikan hasrat menjadikan Pulau Konet sebagai tarikan baharu pelancongan.
“Laluan masuk utama agak sempit dan tidak rata, sekelilingnya ditumbuhi belukar, dalam masa terdekat ini kita akan cari penyelesaian menerusi agensi terbabit,” katanya.
Sementara itu, diminta mengulas mengenai mitos bunian di Pulau Konet, Rosli tidak menafikan cerita-cerita itu wujud dalam kalangan penduduk di sekitar Kuala Linggi.
Katanya, kisah meminjam pinggan mangkuk daripada bunian adalah cerita popular dan sering dimainkan di bibir penduduk kampung.
Beliau turut mengakui nama Pulau Konet mungkin dianggap unik oleh sesetengah orang namun jika tersasar nama itu mungkin dianggap sedikit memalukan.
“Orang kata nama Konet itu adalah rentetan dari perkataan ‘Kenit’ iaitu kecil kerana fizikal pulau itu begitu kecil maka sebab itulah mungkin peredaran dan dialek menjadikan namanya Konet,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.