‘Rekayasa Perkhidmatan Demi Keberhasilan Optima’ jadi tema penjawat awam Melaka 2023

Masa Membaca:1 Minit, 13 Saat

SERI NEGERI 16 Januari – ‘Rekayasa Perkhidmatan Demi Keberhasilan Optima’ dipilih sebagai tema penjawat awam Melaka tahun 2023.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, tema itu dipilih dalam memastikan penjawat awam negeri ini sentiasa menerapkan unsur-unsur ilmu, budaya dan sebagainya dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab masing-masing.

Menurut beliau, fokus utama Perkhidmatan Awam Kerajaan Negeri Melaka Tahun 2023 adalah penyelesaian isu-isu demi mencapai matlamat dan memenuhi keperluan serta perkhidmatan kepada rakyat.

“Penjawat awam yang merupakan tonggak dan pendokong dalam melaksanakan setiap tugas dan tanggungjawab perlu peka agar setiap matlamat dan inisiatif dapat dilaksanakan dengan efisien.

“Sebagai penjawat awam, ‘expectation’ rakyat adalah cukup tinggi. Dalam memastikan penjawat awam sentiasa berada pada tahap yang cemerlang, maka rekayasa perkhidmatan awam wajar diterapkan dalam memastikan penyelesaian isu-isu dapat dilaksanakan dengan kadar yang segera seterusnya mencapai setiap matlamat, serta memenuhi keperluan dan perkhidmatan kepada rakyat keseluruhannya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Amanat Penjawat Awam Negeri Melaka Tahun 2023 di Auditorium Seri Negeri, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Zaidi Johari, barisan Exco Kerajaan Negeri, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan ketua-ketua jabatan serta agensi.

Dalam ucapan amanatnya, Sulaiman turut menekankan beberapa perkara yang perlu diberi perhatian oleh penjawat awam Negeri Melaka.

Antaranya, mempertingkat kecekapan tadbir urus atau tatakelola; inovasi dalam perkhidmatan; budaya kerja profesional dan berintegriti tinggi; digitalisasi dan e-kerajaan serta penyampaian maklumat tepat dan cakna persekitaran.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1708
Kongsi :
Previous post Elak bawa unsur tidak sopan ke Pulau Besar
Next post Ubah stigma jabatan dan agensi kerajaan lambat bertindak, kena tunggu lama – KM
Ubah saiz-+=