Rela berpisah demi masa depan anak

Masa Membaca:1 Minit, 45 Saat

TABOH NANING 8 Julai – “Walaupun berat untuk melepaskannya, saya reda kerana ilmu paling penting untuk masa depannya,” kata pesakit angin ahmar, Azizah Bujang.

Menurutnya dia reda dan bersedia jika anaknya, Mohd Fakhrul Fitri Razali, 16, melanjutkan pelajaran ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Besut, Terengganu apabila sesi persekolahan bersemuka dimulakan selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tamat kelak.

Diikutkan kata Azizah, dia tidak mahu Mohd Fakhrul meninggalkannya dan kakaknya, Norila, 57, yang kudung kedua-dua kaki akibat diabetes di kediamannya di Kampung Sungai Buloh, di sini.

“Selama ini, Mohd Fakhrul menguruskan makan dan minum kami, mengelap badan kami kerana kami tidak mampu bergerak.

“Tetapi apabila dia dapat tawaran belajar di MRSM, saya tidak mahu menghalangnya kerana ilmu amat penting,” katanya ketika ditemui di kediamannya hari ini.

BERITA BERKAITAN: Besar pengorbananmu Mohd Fakhrul

Azizah, 54, diserang angin ahmar sejak 2014 yang menyebabkan anggota tubuh sebelah kanan tidak mampu digerakkan, manakala Norila kehilangan kaki kiri dan kanan, pada 2010 dan 2016.

Mereka tiada tempat bergantung harapan untuk meneruskan kehidupan, selain Mohd Fakhrul sejak suami Azizah, Mohd Yusri Aziz meninggal dunia pada 2017.

MOHD Fakhrul Fitri.

Mohd Fakhrul berkata, meskipun hanya anak angkat, dia amat menyayangi Azizah dan arwah Mohd Yusri kerana mereka memeliharanya sejak kecil.

“Saya terima tawaran ke MRSM Besut pada 27 April lalu tetapi sekadar mendaftar dalam talian dan mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah.

“Bagaimanapun, jika PKP sudah berakhir dan sistem pembelajaran secara bersemuka dimulakan pada masa depan, saya terpaksa meninggalkan ibu dan Mak Long (Norila) untuk sambung belajar,” katanya.

BACA JUGA : Muhammad Fakhrul korban usia remaja demi ibu angkat

Sehubungan itu, dia dan keluarganya menjemput anak saudara Azizah, Norazariah Abdul Aziz, 40, dan anaknya, Mohd Shahrir Imran Zawawi, 17, tinggal di kediamannya untuk menjaga kebajikan ibu dan emak saudaranya itu.

Sebelum ini, dua beranak terbabit tinggal di Kampung Ayer Pa’abas, kira-kira lima kilometer dari Kampung Sungai Buloh.

Sesiapa yang ingin menghulurkan sumbangan kepada Mohd Fakhrul boleh menghubunginya di talian 017-3065606.

BERITA BERKAITAN: KRIIS gotong-royong bersihkan kediaman pesakit terlantar

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

660
Kongsi :
Previous post ‘Hubungi saja, kami datang’
Next post Lelaki tunggang motosikal lawan arus maut
Ubah saiz-+=