‘Hubungi saja, kami datang’

Masa Membaca:1 Minit, 22 Saat

BUKIT BARU 8 Julai – “Umpama kita lihat orang lemas, kita tak perlu tunggu, sebaliknya selamatkan dahulu.”

Itu ungkapan yang menjadi prinsip Abu Hurairah Hashim, 41, dalam menyediakan bank makanan atau ‘food bank’ di Dewan Raja Haji, di sini.

Abu Hurairah berkata, dia bersama rakannya, Mohd Firdaus Mohammad Noor, 33, menyediakan bank makanan di dewan berkenaan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 dan makanan serta keperluan asas diberikan kepada rakan atau kenalan rapat yang terjejas pendapatan.

Katanya, mereka berdua menggunakan modal simpanan sendiri serta kutipan rakan-rakan selain bantuan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk Presiden Majlis Gabungan Belia Melaka (MGBM), Ridhwan Mohd Ali untuk menyalurkan bantuan.

ANTARA barang keperluan yang disediakan di ‘food bank’ Dewan Raja Haji, Bukit Baru.

“Sejak PKP 3.0 ini ramai terjejas, jadi keperluan itu diperluaskan kepada orang ramai supaya inisiatif ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban keluarga susah.

“Tidak perlu birokrasi, malah tidak perlu kemukakan apa-apa dokumen untuk buktikan mereka benar-benar susah sebaliknya hanya tulis nama, alamat serta nombor telefon, kami akan hubungi dan bantu salurkan bantuan.

“Bagi mereka yang mahu mendapatkan keperluan makanan di bank makanan mereka boleh ambil apa sahaja, namun bergantung kepada stok yang ada kerana ia terhad,” katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini (MHI).

Menurutnya, setakat ini pihaknya sudah membantu lebih 180 keluarga kurang berkemampuan dan inisiatif itu sekali gus dapat mengelakkan orang ramai daripada mengibarkan ‘bendera putih’ sebagai penyelesaian mendapatkan bantuan.

“Banyak lagi ikhtiar lain yang boleh dilakukan termasuk menghubungi JAPERUN (Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri) atau masjid kariah masing-masing,” katanya.

 Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

605
Kongsi :
Previous post ‘Saya mau kasi olang susah’
Next post Rela berpisah demi masa depan anak
Ubah saiz-+=