‘Saya mau kasi olang susah’

Masa Membaca:1 Minit, 10 Saat

DURIAN TUNGGAL 8 Julai – “Saya buat ‘food bank’ mau kasi olang susah (mahu beri orang susah) yang tak cukup makan. Nak bagi wang pun saya tak mampu, ini saja yang boleh saya tolong.”

Begitu kata peniaga kedai perkakasan rumah, Celine Koh, 64, yang menjalankan inisiatif bank makanan bagi membantu rakyat memerlukan di hadapan kedainya di Taman Seri Bayan, Gangsa, di sini.

Dia berkata, inisiatif itu bermula sejak tiga hari lalu dengan modal sendiri dan kemudiannya turut dibantu keluarga dan rakan-rakannya.

Menurutnya, meskipun perniagaan diusahakannya selama 14 tahun terjejas lebih 50 peratus dek penangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh, namun itu bukan penghalang untuk dia berkongsi rezeki sedaya mampu.

“Saya tengok ramai buat ‘food bank’ dan saya pun rasa saya perlu buat sesuatu bantu mereka yang susah walaupun pendapatan saya juga terjejas.

“Sesiapa sahaja tak kira Melayu, Cina atau India yang sudah tidak ada pendapatan boleh datang ambil barang di sini mengikut keperluan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Mengulas lanjut, dia yang berasal dari Krubong berkata, antara barangan keperluan asas yang disediakan termasuklah beras, tepung, minyak masak, susu pekat manis, mi segera dan makanan dalam tin.

Tambahnya, orang ramai boleh datang mengambil barangan diperlukan bermula jam 10 pagi hingga 6 petang.

“Selagi masih ada barangan, mereka yang terkesan boleh datang dan kalau boleh saya akan teruskan program ini sampailah PKP berakhir,” katanya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

583
Kongsi :
Previous post Gerobok rezeki Parlimen Masjid Tanah
Next post ‘Hubungi saja, kami datang’
Ubah saiz-+=