Remaja maut, enam cedera nahas di Jambatan Klebang

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

KLEBANG 11 Disember – Seorang remaja lelaki maut, manakala enam lagi cedera selepas terbabit nahas membabitkan sebuah kereta dan sebuah motosikal di Jambatan Jalan Pesisir Pantai Klebang, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.40 pagi tadi, Mohammad Shahrul Rahman, 17 yang merupakan penumpang tempat duduk belakang kereta jenis Proton Wira meninggal dunia di lokasi kejadian akibat pendarahan dalaman di perut.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, empat lagi pemandu dan penumpang kereta turut mengalami kecederaan dengan seorang daripadanya parah dan ditempatkan di zon merah.

Manakala, penunggang motosikal jenis Honda EX5 cedera di siku dan lutut, selain pemboncengnya patah kaki kanan.

Menurut Christopher, hasil siasatan awal mendapati kereta dipandu wanita berusia 19 tahun yang tidak mempunyai lesen memandu itu sedang dalam perjalanan menghala ke Sungai Udang dari arah Bandar Melaka.

Ketika sampai di jambatan Jalan Persisiran Pantai Klebang, kereta yang berada di lorong kiri telah ternampak satu kelompok motosikal di hadapan semasa menuruni jambatan dan cuba mengelak ke lorong kanan.

Namun apabila berada di lorong kanan kereta itu tiba-tiba hilang kawalan menyebabkan telah melanggar motosikal dinaiki dua pelajar sekolah dan seterusnya merempuh penghadang jalan.

“Akibat daripada pelanggaran tersebut seorang penumpang tempat duduk belakang telah maut di tempat kejadian.

“Kesemua mangsa kereta dan motosikal yang cedera juga telah dibawa ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, mangsa yang maut telah dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka dan pihaknya turut mengeluarkan POL 61 bagi mengetahui punca kematian.

Selain itu, katanya, pegawai penyiasat turut mengambil spesimen darah pemandu kereta bagi tujuan ujian alkohol dan dadah.

“Setakat ini tiada saksi bebas tampil memberi keterangan dan tiada kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian.

“Siasatan lanjut masih diteruskan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

11113
Kongsi :
Previous post Pak Ngah kongsi rezeki khatankan anak asnaf, B40 secara percuma
Next post ‘Ingat dah putus….’
Ubah saiz-+=