Remaja parah kereta dipandu dirempuh kenderaan lain

Masa Membaca:1 Minit, 7 Saat

AYER KEROH 15 Dis. – Remaja lelaki parah selepas kereta dipandunya terbabit kemalangan, dalam kejadian di persimpangan lampu isyarat di Jalan Tun Razak berhampiran Hospital Pantai, Ayer Keroh, di sini, kira-kira jam 12.40 tengah malam.

Ketika kejadian mangsa Muhammad Syahmi Ahmad, 19, memandu Proton Persona seorang diri.

Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri Superintendan Hasan Basri Yahya berkata, sebelum kejadian mangsa dikatakan dalam perjalanan dari arah Bukit Katil menuju ke Lebuh Ayer Keroh manakala Mercedes Benz yang juga dipandu remaja lelaki berusia 19 tahun dari arah Ayer Keroh menghala ke Bandaraya Melaka.

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila Mercedes Benz yang menuju ke arah Bandaraya Melaka melanggar kereta dipandu mangsa yang membelok ke kanan.

“Perlanggaran dipercayai berlaku ditengah-tengah persimpangan lampu isyarat dan akibat daripada itu pemandu Proton Persona mengalami kecederaan di kepala dan dia kini di ‘intubated’,” katanya.

Beliau berkata, bagaimanapun pemandu dan penumpang hadapan sebuah lagi kereta tidak mengalami kecederaan serius hanya luka kecil.

“Susulan itu sampel darah pemandu Mercedes Benz terbabit diambil bagi mengesan kandungan alkohol dan dadah.

“Siasatan lanjut berhubung kejadian masih dijalankan selain kedua-dua kenderaan kini ditahan untuk dihantar ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) selain kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Terdahulu, tular dilaman sosial Facebook mengatakan berlakunya kemalangan ngeri yang didakwa berpunca daripada pemandu mabuk melanggar beberapa buah kereta.

Views:

1248
Kongsi :
Previous post COVID-19 di AS kini ragut 300,000 nyawa
Next post Program Subsidi Upah sedia peruntukan melebihi RM15 bilion – Abdul Rahim
Ubah saiz-+=