Program Subsidi Upah sedia peruntukan melebihi RM15 bilion – Abdul Rahim

Masa Membaca:1 Minit, 13 Saat

KUALA LUMPUR 15 Dis. – Program Subsidi Upah (PSU) yang dilaksanakan sejak sembilan bulan lepas telah menyediakan peruntukan melebihi RM15 bilion menerusi pakej-pakej rangsangan yang dilaksanakan, kata Timbalan Menteri Kewangan 1 Datuk Abd Rahim Bakri.

Beliau berkata, sehingga 31 Okt 2020, kerajaan telah menyalurkan sejumlah RM12.5 bilion yang telah membantu 2.7 juta pekerja dan lebih 330,000 majikan.

Katanya, memandangkan masih ramai pekerja yang terkesan dengan pandemik COVID-19 khususnya sektor pelancongan, kerajaan melalui Belanjawan 2021 telah melanjutkan pelaksanaan program itu selama tiga bulan dengan memberi pengkhususan kepada sektor pelancongan termasuk sektor peruncitan merangkumi pemberian RM600 sebulan kepada mereka yang bergaji RM4000 dan ke bawah.

“Selain itu, had pekerja yang layak menerima subsidi upah ditingkatkan dari 200 orang kepada 500 orang pekerja bagi setiap majikan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Dr Mohd Hatta Md Ramli (PH-Lumut) mengenai sama ada kerajaan bercadang untuk memperluaskan jumlah penerima dan tempoh masa bagi PSU sehingga pandemik COVID-19 ini selesai.

Menurutnya, program ini akan menggunakan belanja tambahan sebanyak RM1.5 bilion yang akan memberi faedah kepada 70,000 majikan dan 900,000 pekerja.

Abd Rahim berkata dengan berakhirnya Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat di beberapa negeri dan pergerakan merentas negeri dibenarkan, aktiviti ekonomi dijangka akan beransur pulih, dengan peningkatan permintaan.

“Oleh itu, keperluan bantuan kepada majikan dan pekerja mungkin berkurangan. Namun, kerajaan akan sentiasa mengawasi kedudukan ekonomi dan membuat perubahan kepada inisiatif atau bantuan sekiranya perlu,” katanya.-BERNAMA

Views:

293
Kongsi :
Previous post Remaja parah kereta dipandu dirempuh kenderaan lain
Next post Had operasi premis perniagaan dibenarkan sehingga dua pagi
Ubah saiz-+=