Rezeki raya menang Proton Saga 1.3 AT Premium

Masa Membaca:2 Minit, 4 Saat

BANDARAYA MELAKA 25 April – Hasrat seorang fisioterapi untuk membeli kereta baharu untuk keselesaan isteri dan anak menjadi kenyataan apabila menjadi insan bertuah memenangi hadiah utama cabutan bertuah di Melaka Grand Ramadan Bazar (Melgrab) Jalan Hang Tuah, di sini malam tadi.

Muhammad Rozairen Hairudin, 30 bagaikan tidak percaya rezeki berpihak kepadanya untuk membawa pulang kereta Proton Saga 1.3 AT Premium bernilai hampir RM50,000.

Ia sekali gus menjadikan sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun paling bermakna dalam hidupnya sekeluarga.

Dia berkata, memandangkan sudah hampir dua tahun tidak beraya sebagaimana dua tahun terdahulu, jadi dia mengambil kesempatan pada kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) tahun ini untuk membeli pakaian hari raya untuk anak lelakinya, Firaz Nadif,3.

“Dua minggu lalu, saya dan isteri Siti Nadiah Zulkifli,30 datang ke Melgrab untuk membeli pakaian anak sebelum diberikan lima keping baucer.

“Saya tidak letakkan harapan yang tinggi, hanya mencuba nasib, kalau ada rezeki adalah, kalau tidak ada pun tidak mengapa namun berkat tulang belakang saya iaitu isteri dan anak serta doa ibu bapa, Alhamdulillah bersyukur diberi peluang untuk menang.

“Sebelum ini memang ada perancangan untuk membeli kereta yang besar sedikit untuk keselesaan, Alhamdulillah perancangan itu menjadi kenyataan,” katanya ketika ditemui selepas menerima replika kunci kereta berkenaan.

AB Rauf (tiga dari kanan) menyampaikan replika kunci kereta PROTON Saga kepada Muhammad Rozairen (dua dari kanan).

Hadiah disampaikan EXCO Perindustrian, Pelaburan dan Pembangunan Usahawan negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan turut dihadiri Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Zainal Abu dan penaja kereta berkenaan, Norfazlinda Tambi Chek.

Menceritakan detik menerima khabar gembira itu, Muhammad Rozairen berkata dia sedang menonton perlawanan bola sepak di rumahnya sebelum menerima panggilan daripada pihak penganjur.

“Mula-mula saya ingatkan ‘scammer’ sebab mereka maklumkan saya menang kereta, namun apabila mereka menjelaskan penyertaan saya dalam cabutan bertuah itu, baru saya teringat.

“Memang tidak terkata, macam tidak percaya pun ada, terkejut malah terharu. Saya cakap dengan isteri, kami macam tak percaya.

“Alhamdulillah rezeki Ramadan, rezeki raya tahun ini,” katanya.

MUHAMMAD Rozairen memenagi hadiah cabutan bertuah Proton Saga 1.3

Sebelum ini, lebih 40,000 pengunjung telah berbelanja sekurang-kurangnya RM30 di Melaka Grand Ramadan Bazar (Melgrab) Jalan Hang Tuah setakat 19 April lalu.

Ia sekali gus melayakkan mereka mendapatkan kupon cabutan bertuah yang membolehkan mereka berpeluang memenangi hadiah utama dan pemenangnya dicabut dan diumumkan secara langsung menerusi Facebook Melgrab.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1001
Kongsi :
Previous post Noraini junjung kasih kepada TMJ, bincang pembangunan pengajian tinggi
Next post PM beri penghormatan terakhir kepada Ali Hamsa
Ubah saiz-+=