Riau sambut baik buka laluan penerbangan Melaka-Pekanbaru

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

PEKANBARU 9 Jun – Pembukaan laluan udara antarabangsa Pekanbaru di Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Syarif Kasim II masih dalam peringkat permohonan kepada Kementerian Perhubungan Pengangkutan Indonesia.

Gubernur Riau Dr H Syamsuar bagaimanapun optimis permohonan itu akan dipertimbangkan sebaiknya memandangkan kes COVID-19 di Wilayah Riau kini berada pada angka sifar.

Beliau turut menyambut baik cadangan kerajaan negeri Melaka agar penerbangan Melaka-Pekanbaru akan dibuka semula bagi merancakkan sektor ekonomi kedua-dua negara.

“Di Wilayah Riau ini kes COVID-19 telah mencecah null (sifar) dan kita tahu kebanyakan negara telah membuka pintu sempadan bagi merancakkan lagi aktiviti pelancongan.

“Begitu juga kita di sini (Pekanbaru), kita berharap selain pembukaan laluan darat dan air, laluan udara menerusi Lapangan Terbang Sultan Syarif Kasim II atau SSK II juga akan dibuka segera.

“Saya percaya pembukaan ini akan terus membantu industri pelancongan khususnya untuk wilayah Riau dan Melaka yang terkenal sebagai lokasi rakyat wilayah ini mendapatkan kemudahan kesihatan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas perasmian Festival Semarak Pelancongan Negeri Melaka menerusi Misi Galakan Pelancongan Melaka ke Dumai dan Pekanbaru 2022 di SKA Mall, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali, EXCO Pelancongan Negeri Datuk Muhammad Jailani Khamis serta delegasi Melaka yang lain.

Mengulas lanjut, Syamsuar berkata, selain laluan udara, pihaknya turut berharap laluan air di antara Dumai dan Melaka akan dipercepatkan menerusi perkhidmatan feri pengangkut ‘Roll On Roll Off’ (RORO) Dumai-Melaka yang akan beroperasi beberapa tahun lagi.

Katanya, jalinan kerjasama bersama Melaka akan terus diperkukuh demi menjaga hubungan baik, selain mempromosi pelancongan di antara kedua-dua negara.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

994
Kongsi :
Previous post Lima ketua Malawakil baharu dapat watikah 20 Jun ini -Saifuddin
Next post Melaka lebar sayap tarik pelancong Indonesia
Ubah saiz-+=