‘Rindu teramat petanda saya kehilangan anak selamanya’

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

POKOK MANGGA 10 Ogos – “Saya tidak menyangka perasaan rindu yang teramat sehari sebelum anak meninggal dunia menjadi petanda saya kehilangannya buat selama-lamanya.”

Begitu kata Md Yasin Md Deris, bapa kepada Sarjan Mohd Arifah Md Yasin, 36, yang terkorban akibat kemalangan jalan raya ketika mengejar suspek lumba haram dalam Operasi Samseng Jalanan di Kilometer 24.4 Sistem Lingkaran – Lebuh Raya Kajang (SILK), kelmarin.

Md Yasin, 76, berkata, sehari sebelum kejadian dia berkongsi rasa itu bersama isterinya, Che Ah Md Lani,76, dan berhasrat untuk menziarahi anak bongsu daripada lapan beradik itu di Sepang, Selangor.

Bagaimanapun, katanya hajatnya tidak kesampaian apabila dimaklumkan arwah maut kemalangan ketika menjalankan tugas bersama rakannya, Konstabel Mohd Muradzi Mohd Nawi,26.

“Kali terakhir saya bertemu arwah ketika dia pulang ke Kampung Padang tiga bulan lalu untuk menziarahi ibunya yang sakit.

“Ketika itu, tiada sebarang perubahan dilihat dan dia kelihatan biasa, selalu tersenyum, mesra walaupun dia seorang pendiam,” katanya sebak menceritakan peristiwa itu.

Dia berkata, selepas daripada kepulangan Mohd Arifah, mereka dua beranak sering berhubung melalui telefon dan menyifatkan arwah seorang anak yang manja.

“Dia pernah menunaikan haji mengikut kami suami isteri ketika berusia 15 tahun.

“Saya reda dengan ketentuan Ilahi dan terima kasih kepada semua pihak yang prihatin kerana menghulurkan bantuan untuk melancarkan pengebumian jenazah,” katanya.

Jenazah Md Arifah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tanah Wakaf Baru, Kampung Padang malam tadi.

Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd Ali turut menziarahi keluarga berkenaan bagi merakamkan ucapan takziah dan menyampaikan sumbangan.

Allahyarham meninggalkan seorang balu dan tiga anak lelaki berusia antara dua bulan hingga sembilan tahun.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

767
Kongsi :
Previous post Tulisan terakhir buat Siti Sarah…
Next post 100 pek makanan untuk ‘frontliners’, asnaf sempena Maal Hijrah
Ubah saiz-+=