RM16.2 juta kerugian penipuan jenayah komersial di Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 53 Saat

MELAKA, 16 Julai – Sebanyak RM16.2 juta kerugian dicatatkan berhubung kes penipuan jenayah komersial seperti penipuan pinjaman wang tidak wujud, Macau scam dan pembelian dalam talian sepanjang tempoh enam bulan pertama tahun ini di negeri ini.

Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Supt E Sundra Rajan berkata dalam tempoh itu juga, sebanyak 558 kes dilaporkan dan daripada jumlah berkenaan, 28.74 peratus berjaya diselesaikan manakala selebihnya masih dalam siasatan.

Beliau berkata pihak polis juga masih memburu 20 suspek warga tempatan berumur lingkungan 22 hingga 55 tahun yang disyaki terlibat dalam pelbagai kes jenayah komersial sejak 2015 untuk membantu siasatan.

“Antara modus operandi yang digunakan ialah mengunakan Internet dan mencipta iklan penjualan barang di laman sosial dengan tawaran harga jauh lebih murah daripada pasaran, menyamar menjadi pegawai polis, mahkamah dan sebagainya dengan menelefon mangsa.

“Selain itu, taktik digunakan termasuk menggunakan gambar peribadi menarik untuk berkenalan dan membuatkan mangsa jatuh cinta hingga berjaya meminjam wang,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, Ayer Keroh di sini hari ini.

E Sundra berkata orang ramai juga diminta supaya lebih berhati-hati dengan penipuan khasnya ketika melakukan pembelian dalam talian selain tidak terpengaruh dengan iklan pinjaman wang di Internet yang menawarkan faedah rendah dan boleh diluluskan dalam kadar segera.

Mereka juga disaran supaya membuat semakan nombor akaun dan nombor telefon di pautan http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ atau muat turun aplikasi ‘chek scammers CCID’ di Playstore sebelum membuat apa-apa transaksi bayaran.

“Pihak polis memohon kerjasama daripada orang ramai supaya menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi pegawai penyelaras siasatan iaitu Insp Hairuddin Mohamad Din di talian 06-2854222 sambungan 4189 atau 0197536376 untuk menyalurkan maklumat,” katanya.

Sementara itu, E Sundra berkata seorang pensyarah swasta kerugian RM100,000 selepas ditipu bagi pembelian satu komputer riba yang dijual pada harga RM1,900 menerusi aplikasi WhatsApp.

Beliau berkata pada kejadian 7 Julai lepas, mangsa terpedaya dengan gambar komputer riba yang dihantar dan kemudiannya bersetuju membuat bayaran namun, suspek meminta mangsa membuat lagi bayaran seperti wang caj proses penghantaran, cukai kastam, insurans dan penghantaran lain.

“Tanpa rasa curiga mangsa membuat bayaran seperti diarahkan secara berperingkat dan menyedari ditipu selepas menceritakan kepada keluarganya dan membuat laporan polis. Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan atas kesalahan menipu,” katanya.- BERNAMA

Views:

782
Kongsi :
Previous post Seramai 868,394 individu telah disampel untuk COVID-19
Next post Muhyiddin menang tanpa bertanding Presiden Bersatu
Ubah saiz-+=