RM16 juta ‘hidupkan’ pusat rekreasi Bukit Gapis

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

KUALA LINGGI 9 Feb. – Kerajaan negeri akan memperuntukkan RM16 juta bagi membangunkan pusat pelancongan baharu di Bukit Gapis sebagai lokasi peranginan rekreasi keluarga.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan negeri, Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata, satu kertas kerja sedang dikemukakan pihaknya kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) terhadap pembangunan terbabit.

Katanya, pembangunan pelancongan di kawasan itu akan diselenggara sepenuhnya oleh kerajaan negeri dan tidak akan diswastakan dalam pembangunan pelancongan berskala besar.

“Kawasan ini mempunyai keupayaan air yang tidak mencukupi dan ia tidak sesuai diswastakan dalam skala besar disebabkan sumbernya yang begitu terhad.

“Bagaimanapun kita akan serahkan penyelenggaraan ini kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) kawasan itu bagi memajukan pusat rekreasi keluarga terbaharu di negeri ini dengan pelbagai tarikan termasuk aktiviti perkhemahan, perkelahan dan menyelusuri hutan.

“Bukit Gapis atau lebih dikenali sebagai ‘gunung’ tertinggi di negeri ini mempunyai tarikan lain juga kerana banyak ditumbuhi pokok enau dan ini juga boleh diketengahkan sebagai antara lokasi agropelancongan di Melaka dalam penghasilan buah kabung pada masa akan datang,”katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas melakukan lawatan di ladang nanas Fionanas di Nusa Dusun Kuala Linggi, di sini hari ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Linggi, Datuk Wira Ar. Ismail Othman; Pengarah Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Melaka, Shaari Basiron.

Terdahulu, MHI melaporkan Bukit Gapis terletak di Nyalas didakwa sebagai puncak yang tertinggi di Melaka berbanding Bukit Batu Lebah dan berpotensi menjadi pusat pelancongan baharu di negeri ini.

Bukit Gapis dengan ketinggian mencecah hampir 512 meter mempunyai pelbagai tarikan termasuk menjadi titik sempadan antara Melaka dan Negeri Sembilan dan dipercayai mempunyai nilai sejarah yang dikatakan menjadi tempat perlindungan kaum wanita pada zaman penjajahan Jepun sekitar 1940-an.

Views:

1081
Kongsi :
Previous post Kluster Dialisis Masjid Tanah, kluster terbaru di Melaka
Next post Nanas premium MD2 bakal jadi produk pelancongan baharu
Ubah saiz-+=