RM20 juta laksana program bantu B40 jana pendapatan

Masa Membaca:1 Minit, 51 Saat

AYER KEROH 3 Jun – Sejumlah RM20 juta diperuntukkan kerajaan bagi melaksanakan Program Pemerkasaan Ekonomi Komuniti Bandar (PEKB) sepanjang tahun ini.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ismail Abd Muttalib berkata, peruntukan itu disalurkan bagi membantu golongan B40 dalam usaha menambah pendapatan sekali gus keluar daripada kemiskinan.

Beliau berkata, jika sebelum ini hanya 13 bidang disediakan PEKB kini satu lagi bidang iaitu Asuhan Kanak-Kanak turut diperkenalkan memandangkan mendapat permintaan.

“Untuk tahun lalu kita menerima peruntukan sebanyak RM21 juta dan tahun ini KPKT menerima RM20 juta bagi menjayakan program dibawah PEKB dalam melahirkan lebih ramai usahawan dalam golongan B40.

“Menerusi peruntukan bajet pembangunan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) ini juga kita menyasarkan program PEKB akan disertai seramai 2,000 peserta dan kini sudah mempunyai 1,700 orang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penutup Program PEKB 2022 -Kursus Urutan Selepas Bersalin (Postnatal) Dan Kursus Jahitan Kreatif, di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Bahagian Kesejahteraan Komuniti KPKT Datuk Muhamad Musa, Pengerusi Persatuan Pusat Bertauliah Sistem Latihan (SLDN) Malaysia Datuk Joyah Abd Rashid dan EXCO Hal Ehwal Wanita Datuk Kalsom Noordin.

PESERTA Kursus Urutan Selepas Bersalin (Postnatal) Dan Kursus Jahitan Kreatif bergambar selepas majlis penutupan.

Menurut beliau, pihaknya juga akan mempertingkatkan pemilihan peserta bagi memastikan peruntukan yang disalurkan digunakan sebaik mungkin, sekali gus dapat merealisasikan objektif asal program berkenaan.

“Saya harap wang yang disalurkan tiada pembaziran dan dapat membina usahawan mengikut bidang yang disertai ini kerana kadang-kadang ada pemilihan yang tidak tepat kepada calon, hasilnya tidak dapat lahirkan usahawan.

“Oleh itu kita akan pantau dan disusuli dengan audit selain itu sesi temuduga juga turut diadakan bagi memastikan peserta ini mempunyai kebolehan atau pengalaman berdasarkan bidang yang dipohon itu,” katanya.

Mengulas lanjut, Ismail berkata, menerusi program PEKB, bukan hanya kemahiran yang diberikan malah peserta turut dibimbing cara pemasaran bagi membantu memperluaskan perkhidmatan mereka.

“Walaupun kita tahu mereka sudah ada kemahiran menerusi program ini juga kita akan bantu bagaimana untuk uruskan kewangan yang diperoleh termasuk memasarkan produk atau perkhidmatan melalui digital.

“Ia selaras dengan peredaran masa terkini yang menggunakan medium dalam talian walaupun masih mengekalkan pertemuan bersemuka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1340
Kongsi :
Previous post Melaka bangunkan 44,684 rumah mampu milik
Next post Polis tahan suri rumah jual air ketum
Ubah saiz-+=