RM289.41 juta pendapatan Melaka setakat November 2023 – KM

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

SERI NEGERI 27 November – Pendapatan Kerajaan Negeri bagi tahun 2023 setakat 20 November adalah sebanyak RM298.41 juta dengan peratusan sebanyak 65.51 peratus.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata mengikut pecahan pendapatan terbabit, Kerajaan Negeri mengutip sebanyak RM122.56 juta untuk hasil cukai, manakala hasil bukan cukai yang dikutip sebanyak RM138.72 juta dan terimaan bukan hasil adalah sebanyak RM37.13 juta.

“Antara jenis-jenis cukai yang dikutip Kerajaan Negeri adalah seperti cukai tanah, duti hiburan, royalti air, cukai bahan batuan.

“Manakala hasil bukan cukai pula seperti hasil bayaran premium tanah, kompaun, caj rekreasi air.

“Terimaan bukan hasil pula terdiri daripada agensi kerajaan dan terimaan lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan daripada Dr. Mohd Yadzil Yaakub (PN-Bemban) pada Persidangan Ketiga (Bajet) Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Yang Kelima Belas, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Ab Rauf memaklumkan surplus akaun untuk Tahun 2022 bagi Kerajaan Negeri adalah sebanyak RM43.51 juta.

Jelasnya, hasil kutipan cukai rendah disebabkan faktor keadaan ekonomi semasa dan global yang mengakibatkan ramai pembayar cukai premium terdiri daripada konsesi-konsesi mohon untuk menangguhkan pembayaran berjumlah besar.

“Namun, meskipun disebabkan faktor ekonomi semasa dan global, Kerajaan Negeri tetap berjaya menampung RM43.51 juta hasil terimaan yang bakal diterima sehingga akhir tahun.

“Selain itu, pembayaran premium oleh konsesi-konsesi selepas ini tiada lagi penangguhan dan mereka perlu membayar premium mengikut perjanjian mengikut jadual yang disediakan.

“Perbelanjaan-perbelanjaan ini telah ditanggung dengan pendahuluan daripada Kerajaan Persekutuan sebanyak RM100 juta dan jumlah keseluruhan diterima oleh Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Kewangan Malaysia (MoF) sejak tahun 2007 lagi,” katanya ketika menjawab soalan tambahan daripada Adun Bemban.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

818
Kongsi :
Previous post Jet pejuang tarikan KUAM2024
Next post TMM2024: Lebih RM14 juta naik taraf landskap di Melaka
Ubah saiz-+=