TMM2024: Lebih RM14 juta naik taraf landskap di Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

SERI NEGERI 27 November – Lebih RM14 juta telah diperuntukkan kesemua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Negeri Melaka bagi kerja-kerja menaik taraf landskap sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin berkata, ia bertujuan menambah baik aspek keceriaan dalam menarik kehadiran pelancong.

Jelas beliau, peruntukan terbesar naik taraf landskap ialah Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) iaitu sebanyak lebih RM13 juta.

“Ia diikuti Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) dengan peruntukan berjumlah RM736,000; Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (RM220,755) dan Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) sejumlah RM200,000.

“Kesemua peruntukan ini merupakan bajet daripada PBT sendiri, selain peruntukan Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS); Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Kementerian Kewangan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan tambahan Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali (BN-Lendu) pada Persidangan Ketiga (Bajet) Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Yang Kelima Belas, di sini, hari ini.

Tambah Rais, selain landskap, aspek pencahayaan juga antara yang diberi fokus utama pihak PBT.

Menurut beliau, sejumlah lebih RM11 juta telah diperuntukkan bagi menaik taraf pencahayaan membabitkan kesemua empat PBT di Negeri Melaka.

“Antara fokus utama PBT ialah di pintu-pintu masuk Negeri Melaka yang merupakan imej terawal pelancong masuk ke Negeri Melaka.

“Selain keceriaan, fokus kebersihan juga turut diberi perhatian sepanjang Oktober tahun ini hinggalah sepanjang TMM2024 tahun hadapan.

“Ini bagi memastikan Melaka mencapai imej negeri cantik, bersih dan ceria dalam menyambut kedatangan pelancong dalam dan luar negara,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

743
Kongsi :
Previous post RM289.41 juta pendapatan Melaka setakat November 2023 – KM
Next post Salur bantuan khairat kematian ikut kriteria tertentu
Ubah saiz-+=