Rondaan lebih kerap elak kecurian benih kerang

Masa Membaca:1 Minit, 49 Saat

MERLIMAU 13 Jun – Jabatan Perikanan diminta agar melakukan rondaan dan pemantauan secara lebih kerap bagi mengekang kes kecurian benih kerang terutamanya di perairan Kebun Kerang di Negeri Melaka berulang.

Timbalan Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Low Chee Leong berkata, meskipun perkara itu tidak serius, namun langkah berjaga-jaga perlu dilaksanakan segera berikutan permintaan yang tinggi terhadap kerang ketika ini.

“Setakat ini hanya satu kejadian kecurian dilaporkan berlaku pada bulan lalu, saya difahamkan kes itu kini dalam tindakan pihak polis.

“Pemantauan memang ada dilakukan oleh Jabatan Perikanan secara rutin namun begitu selepas ini diharap ia dapat dilakukan dengan lebih kerap lagi terutamanya di sekitar kawasan Kebun Kerang Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Bayaran Insentif Sara Hidup One-off Fasa II Dan III Nelayan Negeri Melaka, disempurnakan Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Dr. Muhamad Akmal Saleh, di Dewan Datuk Haji Ahmad Ithin, hari ini.

photo_2023-06-13_13-04-36
Timbalan Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Low Chee Leong ditemui pada Program Penyampaian Bayaran Insentif Sara Hidup One-Off Fasa 2 dan 3 Kepada Nelayan Daerah Jasin di Dewan Datuk Haji Ahmad Ithnin Merlimau. Foto Iqmal Haqim Rosman

Menurut beliau, nelayan yang terbabit juga diminta untuk bersama-sama melakukan pemantauan dan segera melaporkan sebarang aktiviti atau kehadiran individu mencurigakan di sekitar kawasan kebun kerang mereka.

“Bagi saya kejadian ini tidak seharusnya berlaku dan hanya individu yang tidak bertanggungjawab sahaja akan berbuat demikian memandangkan hasil kerang ini akan dapat dituai dalam tempoh tidak lama lagi.

“Oleh itu peserta khususnya diminta untuk segera melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya ada mengesan berlakunya kegiatan kecurian benih kerang ini,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, projek perintis Kebun Kerang Melaka seluas 21 hektar di perairan Melaka tidak mustahil mampu mengubah nasib kira-kira 180 nelayan pantai daripada status B40 kepada T20.

Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, projek kebun kerang akan memberi manfaat dalam meningkatkan ekonomi nelayan kecil persisir pantai.

Projek Kebun Kerang Melaka itu meliputi perairan antara Merlimau hingga ke Sebatu dengan keseluruhan sebanyak 18 lot.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1177
Kongsi :
Previous post Bayaran STR akan dibayar sebelum Hari Raya Haji – PM Anwar
Next post Sektor perikanan sumbang lebih RM48 juta
Ubah saiz-+=