‘Roti John Beratur’ Masjid Tanah masih popular

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

LENDU 18 Mac – Masih mengekalkan resipi citarasa asli keluarga menjadi antara faktor Roti John Pak Hassan antara juadah yang dicari-cari di Bazar Ramadan Masjid Tanah.

Peniagaan dimulakan hampir 40 tahun lalu yang kini diwarisi generasi kedua itu turut dikenali sebagai Roti John Beratur dalam kalangan warga Masjid Tanah.

Hanya mengekalkan resipi sama tanpa sebarang pembaharuan menjadikan roti john itu masih diterima ramai meskipun pelbagai variasi roti john tercipta dan dijual di pasaran hari ini.

Pengusahanya, Aniza Jaafar, 53, berkata, selain mengekalkan harga yang sama sejak dua tahun lalu ramai pelanggan yang datang berpuas hati dengan jualannya disebabkan keaslian resipi yang digunakan.

“Setiap kali berniaga di sini terutama di waktu puncak ramai pelanggan sanggup berbaris panjang sebab semata-mata nak membeli roti john di warung kami.

“Ramai yang kata roti john di sini unik sebab masih mengekalkan citarasa lama sebab roti john yang kami jual hanya satu perisa sahaja iaitu berintikan sardin dan telur serta bahan lain yang sama dijual seperti 40 tahun yang lalu.

“Malah, kami tidak akan meletakkan sos yang melimpah membuatkan ia diterima ramai, selain itu kita tidak akan sediakan perisa ayam ataupun daging kerana kita nak kekalkan citarasa original dihasilkan oleh arwah ayah,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Kini perusahaannya itu diteruskannya bersama adik, Mariah Jaafar, 43 selepas pemergian Allahyarham bapanya, Jaafar Che Mat tahun lalu.

Katanya, amanah yang ditinggalkan itu akan diteruskan demi mengembangkan perniagaan keluarga yang juga menjadi mata pencarian buat mereka meneruskan kehidupan.

“Kami tetap akan bertahan meskipun berdepan beberapa cabaran lain terutamanya kos kenaikan barang mentah.

“Insya-Allah, kami tetap ambil peluang teruskan berniaga di bazar pada tahun ini dan tetap kekalkan harga RM7 seperti yang ditetapkan arwah ayah,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

929
Kongsi :
Previous post Polis tahan dua lelaki guna nombor pendaftaran palsu
Next post Polis buka kertas siasatan berkaitan kes penjualan stoking kalimah Allah
Ubah saiz-+=