Polis buka kertas siasatan berkaitan kes penjualan stoking kalimah Allah

Masa Membaca:1 Minit, 51 Saat

KUALA LUMPUR, 18 Mac – Polis telah membuka satu kertas siasatan berkaitan kes penjualan stoking tertera kalimah Allah di KK Mart Bandar Sunway seperti yang tular melalui media sosial sejak 13 Mac lepas, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah.

Shamsul Anuar berkata kes itu disiasat di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang jika disabitkan kesalahan boleh didenda hingga RM20,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

“Sehingga kini, sebanyak 36 laporan polis telah diterima berkaitan rasa tidak puas hati terhadap penjualan stoking tertera kalimah Allah itu dan ketika ini, siasatan lanjut kita laksanakan terhadap pengurusan serta vendor terlibat bagi memastikan stoking ini tidak berada di mana-mana pasaran di dalam negara.

“Walaupun KK Mart dan vendor sudah minta maaf, kita akan terus siasat kerana hal ini mencetuskan kegemparan dan kegusaran awam,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) mengenai tindakan kementerian berhubung isu penjualan stoking tertera kalimah Allah di premis KK Mart Bandar Sunway.

Shamsul Anuar pada masa sama mengesahkan pemeriksaan kementerian mendapati tiada lagi penjualan stoking berkenaan di semua premis KK Mart di seluruh negara.

Menjawab soalan asal Mohd Hasnizan Harun (PN-Hulu Selangor) mengenai pemantauan terhadap bahan penerbitan supaya bebas unsur lucah, tidak bermoral dan boleh merosakkan akidah umat Islam, beliau berkata setakat 2023, sejumlah 5,516 tajuk penerbitan telah dikenakan tindakan supaya tidak berada dalam masyarakat di negara ini.

“Kawal selia mengikut Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, tindakan penguatkuasaan bukan sahaja merujuk kepada aktiviti penjualan dan pengimportan, tetapi turut diambil terhadap penerbit, pencetak, pengedar termasuk pemilik mana-mana penerbitan yang menyalahi akta.

“Antara tindakan penguatkuasaan yang diambil jika terdapat kesalahan berkaitan kemoralan ialah penyitaan atau penahanan, siasatan dan pendakwaan kepada pesalah. Bahan penerbitan, buku atau bahan bacaan yang tidak bermoral terbabit akan dikenakan tindakan seperti Perintah Larangan, Tahan Penghantarserahan dan Tolak Pengimportan,” katanya.

Sementara itu, Shamsul Anuar berkata cadangan pindaan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 yang antara lain bertujuan memenuhi keperluan semasa terutama berkaitan jenayah dalam talian dijangka dibentangkan pada sesi Parlimen tahun ini.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

528
Kongsi :
Previous post ‘Roti John Beratur’ Masjid Tanah masih popular
Next post Dataran Keris Alor Gajah berwajah baharu
Ubah saiz-+=