Sorting by

×

‘RUMAH NENEK PATIMAH SUDAH TAK BOCOR’

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

SERKAM 3 Julai – Patimah Jantan, 71, tidak berhenti tersenyum kegembiraan selepas melihat kediamannya yang sebelum ini uzur dan berusia lebih 30 tahun berwajah baharu selepas selesai dibaik pulih oleh Majlis Perbandaran Jasin (MPJ).

Patimah berkata, sebelum ini keadaan rumah berkenaan amat uzur dengan kerosakan pada bahagian struktur sementara itu bumbung pula bocor menyebabkan dia berasa amat tidak selesa setiap kali berlaku hujan.

“Sebelum ini saya dengan bantuan anak-anak beberapa kali sudah membaiki kerosakan berlaku terutamanya bumbung yang bocor, namun berulang semula. Sekarang Alhamdulillah, selepas dibaiki oleh pihak MPJ saya kini boleh tinggal dalam suasana lebih selesa tanpa risau mengenai bumbung bocor lagi,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Terdahulu Patimah menerima lawatan Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin pada Program MPJ Prihatin: Menyantuni Penerima Program Baik Pulih Rumah (PPKB) bersempena WRUR Dewan Undangan Negeri (DUN) Serkam di Kampung Bukit Tembakau, Umbai, di sini, semalam.

Hadir sama, Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Zulkiflee Mohd Zin, dan Yang Dipertua MPJ Muhammad Zahiruddin Mohd Zahari.

Patimah berkata, dia kini tinggal di rumah berkenaan bersama anak bongsu, manakala  enam lagi anaknya yang lain tinggal berasingan kerana masing-masing sudah mempunyai keluarga sendiri.

“Terima kasih juga kepada Kerajaan Negeri yang melaksanakan program sebegini kerana ia bukan sahaja membantu daripada segi kebajikan, malah merapatkan hubungan masyarakat dengan pemimpin setempat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

532
Kongsi :
Previous post MELAKA LAKSANA HUKUMAN TEGAS BAGI KES JENAYAH SYARIAH
Next post MELAKA PERKUKUH EKOSISTEM HALAL, LAHIR AUDITOR KOMPETEN