Rumah Terbuka Aidilfitri Asahan terima sambutan luar jangka

Masa Membaca:1 Minit, 34 Saat

ASAHAN 9 Mei – Lebih 5,000 pengunjung membanjiri Dataran MARA, Nyalas, di sini, bagi meraikan Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan, malam tadi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Asahan, Fairul Nizam Roslan berkata, sambutan luar jangkaan itu membuatkannya gemuruh, namun gembira dan bersyukur majlis itu mendapat sokongan masyarakat sekitar.

Beliau berkata, sambutan yang diadakan tahun ini begitu meriah berbanding tahun lalu, sekali gus menandakan jalinan silaturrahim antara masyarakat dan kepimpinannya semakin kukuh.

“Alhamdulillah saya begitu berbesar hati dengan kehadiran yang begitu ramai pada malam ini.

“Rasa gemuruh pun ada rasa gembira pun ada, semestinya sambutan yang diadakan kali ini kita anjurkan bukan sahaja mahu erat jalinan silaturahim antara masyarakat, tetapi kita juga meraikan mereka pada malam ini,” katanya pada sidang media selepas majlis berkenaan malam tadi.

IMG_20230509_013304_446
SUASANA tetamu yang hadir ke Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri DUN Asahan di Dataran MARA, Nyalas. Foto Iqmal Haqim Rosman

Majlis itu turut diserikan dengan kehadiran Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh yang tiba kira-kira jam 8.20 malam tadi.

Hadir sama, barisan Exco Kerajaan Negeri, Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan tetamu lain.

Kemeriahan pada majlis itu mula dirasai seawal jam 8 malam apabila keadaan trafik di kawasan tersebut mula sesak dengan kehadiran pengunjung yang mahu bersama-sama meraikan rumah terbuka itu.

IMG_20230509_013323_623
ANTARA juadah yang dihidangkan kepada tetamu. Foto Iqmal Haqim Rosman

Terdapat lebih 10 juadah tradisional dihidangkan kepada tetamu, selain ia turut diserikan dengan persembahan nyanyian dan pertunjukan badut.

Pada majlis itu, Fairul Nizam yang juga Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri turut mengiringi Ab Rauf menyampaikan sumbangan kepada pelajar cemerlang Ujian Penilaian Kelas Kafa (UPKK) DUN Asahan.

Majlis itu diakhiri dengan agihan duit raya kepada kanak-kanak yang hadir.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1444
Kongsi :
Previous post Cerun runtuh: Pemaju projek diberi tempoh 7 hari – KM
Next post Tangisan syukur terpilih tunai haji di usia emas
Ubah saiz-+=