Rumah Terbuka Aidilfitri DUN Asahan pamer konsep Keluarga Malaysia

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

ASAHAN 27 Mei – Bukan sahaja Melayu malah masyarakat pelbagai kaum hadir memeriahkan Rumah Terbuka Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan di sini.

Meskipun sudah lebih dua tahun, negara dilanda pandemik COVID-19 sekali gus tidak dapat menganjurkan sebarang rumah terbuka, kegembiraan rakyat Adahan pada sambutan raya kali ini seakan terbalas.

Sambutan yang diadakan di Dewan Hang Kasturi itu berlangsung meriah dengan dihadiri hampir 5,000 masyarakat tempatan dan sekitar Jasin.

Seawal jam 8 malam, Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali tiba di dewan berkenaan dan tidak melepaskan peluang untuk merasai kemeriahan sambutan itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asahan, Fairul Nizam Roslan berkata, selagi majlis berkenaan tidak disempurnakan, debaran semakin terasa berikutan sambutan itu adalah acara terbesar dianjurkannya sejak menjadi wakil rakyat.

“Hari ini adalah jamuan Aidilfitri yang pertama sebagai wakil rakyat jadi memang ‘nervous’, tetapi alhamdulillah kehadiran orang ramai tidak putus-putus sejak tadi.

“Tiada apa yang istimewa sama seperti rumah terbuka yang lain namun kita menyediakan pelbagai juadah hari raya dan kuih muih untuk hidangan orang ramai.

“Untuk kanak-kanak kita sediakan penghibur badut untuk memberikan hadiah belon tanpa had kepada anak-anak, selagi tidak tutup selagi itu belon akan diberikan kepada mereka,” katanya ketika ditemui di majlis berkenaan.

Sementara itu, Rau Ah Kiat, 61 berkata sebagai anak jati Asahan dia sanggup datang dari Jasin untuk memeriahkan sambutan Aidilfitri.

“Saya memang suka sikap ditonjolkan YB Along yang mudah mesra tidak kira bangsa atau agama.

“Selepas dua tahun tak dapat rasa kemeriahan rumah terbuka Aidilfitri, kali ini saya teruja untuk hadir kerana dapat merasai makanan tradisional masyarakat Melayu,” katanya.

Nada sama dizahirkan MK Raj, 51 yang mahu memberi sokongan kepada Fairul Nizam kerana menganjurkan rumah terbuka Aidilfitri buat rakyat tempatan.

“Kalau beliau sanggup datang ke upacara kematian mahupun perayaan bangsa lain, kenapa tidak kami hadir untuk memeriahkan sambutan dianjurkannya.

“Sambil-sambil itu dapat juga kita merasai makanan tradisi hari raya dan berjumpa dengan kejiranan yang lain,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2156
Kongsi :
Previous post Kereta kuda berhias curi perhatian rumah terbuka Pengkalan Batu
Next post Rumah Terbuka Klebang serlah semangat muhibah
Ubah saiz-+=