kj kkm

RUU larangan merokok ke Jemaah Menteri minggu depan

SERDANG, 8 Julai – Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Hasil Tembakau dan Merokok akan dibawa ke mesyuarat Jemaah Menteri minggu depan untuk mendapatkan persetujuan sebelum dibentangkan di Parlimen, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Khairy berkata mesyuarat Jemaah Menteri itu adalah peluang bagi para menteri bertukar pandangan dan memberi hujah masing-masing dan beliau juga berpeluang memberikan penjelasan.

Beliau berkata ia merupakan langkah pertama untuk meyakinkan anggota Jemaah Menteri dan mendapatkan sokongan mereka bagi membolehkan beliau membawa RUU tersebut dibentangkan di Parlimen.

“Sekiranya RUU itu diluluskan, Malaysia merupakan negara pertama di dunia yang dapat meluluskan ia sebagai undang-undang yang melarang aktiviti merokok dan pemilikan sebarang produk merokok termasuk rokok elektronik atau vape terhadap generasi muda yang lahir selepas 2005,” katanya.

Khairy berkata demikian dalam sidang media selepas majlis pelancaran Generational Endgame Advocacy Roadshow (Gegar) Wanita di sini hari ini, yang turut dihadiri Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun.

Khairy berkata cadangan pelaksanaan peruntukan generasi penamat (GEG) dalam RUU itu adalah untuk melindungi generasi muda Malaysia daripada terjebak dengan tabiat merokok dan menjadi mangsa ketagihan produk merokok apabila mereka dewasa, serta mengurangkan peratus perokok di Malaysia iaitu kurang daripada lima peratus menjelang 2040.

“Ini sekali gus dapat mengurangkan kadar kematian pramatang, penyakit kronik dan kos rawatan yang terpaksa ditanggung kerajaan akibat komplikasi merokok dalam kalangan masyarakat,” katanya dengan menambah prevalens merokok di Malaysia masih tinggi iaitu 40.5 peratus dalam kalangan lelaki manakala 20 peratus wanita.

Khairy berkata sekarang merupakan masa terbaik untuk meluluskan RUU itu kerana 97 peratus belia menyokong GEG serta tidak melihat merokok satu gaya hidup yang diaspirasikan.

“Ini masa yang sesuai untuk menutup sepenuhnya pintu merokok kepada anak muda Malaysia,” katanya.

Khairy berkata usaha meluluskan RUU itu bukan mudah kerana sesetengah pihak berpandangan akta berkenaan akan menjejaskan punca pendapatan negara dan industri pelancongan.

Katanya kesan kepada negara jika tabiat rokok tidak dikawal adalah kerajaan perlu menanggung beban kos rawatan sebanyak RM8 bilion untuk merawat masalah kesihatan seperti jantung, paru-paru dan komplikasi lain.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

79
292447720_5513744948648834_1398405075744130601_n Previous post MAIWP nafi terbabit dalam isu jemaah haji terkandas di KLIA
291479009_1215251365920851_3832060150441104256_n Next post Mangsa banjir di Baling dinasihat tinggal di PPS, elak risiko berulang – Hamzah