Saarani menghadap Sultan Nazrin esok berhubung pembubaran DUN

Masa Membaca:1 Minit, 0 Saat

BAGAN SERAI, 11 Okt – Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad akan menghadap Sultan Perak Sultan Nazrin Shah di Istana Kinta pukul 2 petang esok bagi mendapatkan perkenan untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak.

“Saya baru dapat perkenan untuk menghadap Baginda petang esok,” kata Saarani kepada media selepas menghadiri Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak Daerah Kerian di sini hari ini.

Beliau berkata mesyuarat mingguan Kerajaan Negeri akan diadakan seperti biasa pagi esok, sebelum beliau menghadap Sultan Perak pada sebelah petangnya, dan kenyataan rasmi berhubung pembubaran DUN dijangka akan dikeluarkan pihak istana.

DUN Perak kini dianggotai 25 Ahli Dewan Undangan Negeri dari Barisan Nasional (BN), DAP (15), Amanah (lima), Bersatu (empat), PAS (tiga), PKR (tiga), PBM (tiga) dan bebas (satu).

Semalam, Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata DUN di bawah pentadbiran BN kecuali Melaka, Johor dan Sabah akan dibubarkan serentak dengan pembubaran Parlimen bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran Parlimen berkuat kuasa 10 Oktober untuk memberi laluan kepada PRU selepas diperkenankan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1998
Kongsi :
Previous post Pendekatan informatif, interaktif bakal tarik pengunjung ke Jelajah AKM Melaka
Next post Peguam Najib diberi amaran tiada lagi penangguhan soal saksi dalam bicara 1MDB
Ubah saiz-+=