SAMB kenakan caj sumbangan RM300

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

SERI NEGERI 25 Julai – Caj sumbangan dikenakan Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) bagi permohonan baharu bil air sebanyak RM300 adalah mengikut nilai kediaman dan harga pasaran.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Kemudahan Awam, Infrastruktur dan Pengurusan Banjir negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, caj sumbangan dikenakan berdasarkan Akta Industri Perkhidmatan Air 2026 di bawah Peraturan-peraturan Industri Perkhidmatan Air iaitu deposit ‘fee’ dan caj perkhidmatan.

“Merujuk kepada jadual ketiga bahagian satu, kadar sumbangan modal sebanyak RM300 dikenakan ke atas premis kediaman dengan harga jualan atau nilai pasaran premis tersebut antara RM70,000 hingga RM150,000, maka dikenakan caj sumbangan RM300,” katanya.

Beliau menjawab soalan lisan oleh Siti Faizah Abd Azis (UMNO-Sungai Rambai) pada Persidangan Ketia, Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-15 di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata bagi caj sumbangan yang dikenakan terhadap pemilik premis dengan nilai pasaran berharga antara RM150,000 hingga RM300,000 adalah sebanyak RM500 manakala bagi harga pasaran bernilai antara RM300,000 hingga RM500,000 adalah sebanyak RM1,000 dan RM1,500 bagi premis harga jualan bernilai melebihi RM500,000.

Katanya, bagi premis yang tidak dikenakan caj sumbangan adalah termasuk skim perumahan kos rendah yang dibiayai oleh kerajaan Persekutuan dan negeri, premis yang dimiliki individu tidak kurang dengan nilai RM70,000 serta bangunan institusi keagamaan.

“Turut tidak dikenakan caj adalah bangunan milik organisasi tanpa keuntungan yang diluluskan oleh mana-mana pihak berkuasa kerajaan dan kawasan komuniti dan dewan serbaguna bagi kegunaan awam.

“Saya harap penjelasan ini menjawab persoalan dikemukakan Yang Berhormat Sungai Rambai,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1613
Kongsi :
Previous post Kompleks Rawatan Ibu dan Anak bakal dibina
Next post Tapak parkir di dua lokasi elak kesesakan Hospital Melaka
Ubah saiz-+=