Tapak parkir di dua lokasi elak kesesakan Hospital Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 38 Saat

SERI NEGERI 25 Julai – Kerajaan negeri menyediakan dua lokasi khas untuk dijadikan pusat sehenti parkir kenderaan bagi mengatasi masalah kesesakan kenderaan pelawat yang memasuki di Hospital Melaka.

Exco Kesihatan dan Antidadah negeri, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, kawasan parkir buat pelawat dinamakan One Stop Parking Centre di Bukit Serindit dan Taman Satu Lagenda menyediakan lebih 1,000 petak parkir.

Katanya, kedua-dua lokasi itu mempunyai akses kepada kemudahan awam secara terus ke Hospital Melaka.

“Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Melaka telah mengadakan mesyuarat bersama beberapa agensi lain termasuk pihak Hospital Melaka dan syarikat Panorama (Melaka) bagi mengatasi masalah ini.

“Kita dapati One Stop Parking Centre ini akan dibangunkan di sebuah bidang tanah di Bukit Serindit dengan kapasiti yang mampu memuatkan lebih kurang 500 parkir dan satu lagi terletak di Taman Satu Lagenda berdekatan Melaka Sentral dengan kapasiti yang mampu memuatkan 1,670 petak parkir,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan yang diajukan Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer (BN-Ayer Limau) pada Persidangan Ketiga Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka ke-15, di Seri Negeri, di sini hari ini.

Beliau berkata, satu simulasi khas akan dijalankan pada 1 Ogos depan bagi menilai setiap pergerakan bas mahupun keadaan trafik bagi memastikan cadangan itu mampu mengatasi kesesakan ruang parkir di Hospital Melaka.

“Pada 1 Ogos depan kita bersama JKN Melaka akan adakan simulasi untuk lihat bagaimana bas Panorama ini bergerak ke Hospital Melaka dan kita nak lihat apa halangannya.

“Yang paling penting kita nak nilai cabaran kesesakan trafik di waktu puncak dan bagaimana untuk memperuntukkan ruang untuk memasuki ke kawasan hospital,” katanya.

Beliau menambah, sebelum pelaksanaan terbabit kerajaan negeri akan mengeluarkan notis sebulan awal kepada orang ramai sebelum pelaksanaan itu dijalankan.

“Apabila kita gunakan keadeah ini ia akan memberi ruang kepada pesakit dan pelawat orang kelainan upaya (OKU) kerana kita akan sediakan petak parkir yang sedia ada sebelum ini dikhaskan buat OKU supaya ia lebih ‘accessible'” katanya.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2005
Kongsi :
Previous post SAMB kenakan caj sumbangan RM300
Next post Kawasan industri baharu di Alor Gajah
Ubah saiz-+=