Sambut baik program RiVAC di Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 42 Saat

BANDAR HILIR 13 Ogos – Rata-rata penerima vaksin COVID-19 dos pertama menarik nafas lega apabila kerajaan melaksanakan program Vaksinasi Industri Peruncitan (RiVAC) di negeri ini.

Penerima, Rozaini Zainal, 39 , berkata dia bersyukur kerana sektor peruncitan turut diberikan keutamaan untuk menerima vaksin kali ini.

“Saya menunggu hampir dua bulan…bila (nama) dipanggil saya berasa lega dan sangat gembira walaupun sebenarnya takut dengan jarum.

“Bila fikirkan memang takut tapi dengan keadaan sekarang terpaksa juga beranikan diri,” ujarnya yang bekerja di sebuah kedai perkakas elektrik.

NOR HAFIZAH.

Seorang lagi, Nor Hafizah Abd Aziz, 33, yang merupakan kerani di sebuah syarikat kuari meluahkan rasa syukur kerana diberi peluang untuk mendapatkan suntikan vaksin setelah dinasihati majikannya.

“Sebelum ini saya rasa tak yakin untuk dapatkan vaksin kerana banyak komen negatif daripada ramai pihak.

“Selepas dinasihat oleh majikan dan kawan-kawan tentang kebaikan vaksin, barulah saya daftar dan alhamdullilah saya tak perlu tunggu lama menerusi program RiVAC ini.

“Terima kasih kepada kerajaan kerana memberikan vaksin secara percuma, saya percaya ramai antara kita yang tidak mampu untuk membeli sendiri vaksin,” katanya ketika ditemui MHI di Pusat Pemberian Vaksinasi Industri (PPVIN) RiVAC di Dataran Pahlawan Melaka Megamall, hari ini.

Dia turut menyarankan kepada orang ramai segera berdaftar untuk menerima vaksin dan mengabaikan komen negatif daripada kumpulan anti-vaksin.

ELVY.

Sementara itu, pekerja syarikat perhotelan, Elvy, 31, bersyukur dan berterima kasih kepada majikannya kerana mendaftarkan pekerja untuk mendapatkan vaksin.

“Walaupun saya nervous (gementar) untuk disuntik, tapi saya ‘excited’ sebab mungkin selepas ini saya diberikan kelonggaran untuk ‘dine-in’ seperti diumumkan kerajaan jika lengkap dua dos vaksin.

“Terima kasih kepada kerajaan dan majikan bagi usaha mereka untuk mempercepatkan pemberian vaksin kepada pekerja di sektor peruncitan,” ujarnya.

Untuk rekod RiVAC menyasarkan barisan hadapan ekonomi seperti juruwang, jurujual, kru restoran, pekerja stesen minyak, kru pasar raya, kru departmental stores (gedung serbaneka), tukang gunting dan kecantikan, pengurusan kompleks beli-belah dan pekerja rantaian pengedaran.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

503
Kongsi :
Previous post Utamakan vaksin pada penjaja, peniaga pasar – Ismail
Next post Peguam didakwa pecah amanah hampir RM1.3 juta
Ubah saiz-+=