Sorting by

×

Peguam didakwa pecah amanah hampir RM1.3 juta

Masa Membaca:1 Minit, 11 Saat

AYER KEROH 13 Ogos- Seorang peguam dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas dua pertuduhan pecah amanah wang jualan dan pembelian hartanah bernilai hampir RM1.3 juta pada 2016 dan tahun lalu.

Tertuduh, Kingsley Wamback, 40, mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Maziah Joary Mohd Tajudin.

Mengikut kertas pertuduhan, Kingsley sebagai peguam di Firma Guaman Tetuan Kingsley & Co didakwa dengan curangnya melakukan pecah amanah wang berjumlah RM945,950 bagi pembelian tiga lot tanah di Mukim Paya Rumput, dekat sini, yang dibayar melalui akaun Public Bank firma itu untuk kegunaan sendiri.

Perbuatan itu didakwa dilakukanya di pejabat firma itu di Taman Kerjasama Bukit Beruang Melaka antara 1 Julai 2016 hingga 31 Julai 2016.

Bagi pertuduhan kedua, Kingsley didakwa melakukan kesalahan sama terhadap wang jualan rumah berjumlah RM340,000 milik Lee Hoon Luan Jenny, 81, di cawangan firma guamannya di Taman Muzaffar Height antara 13 Julai hingga 8 Oktober 2020.

Pendakwaan bagi kedua-dua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan, memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun, sebat dan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Anis Wahida Mohamad mencadangkan tertuduh yang diwakili Peguam, Goh Chin Han dibebaskan dengan ikat jamin RM50,000 bagi setiap pertuduhan sementara menunggu perbicaraan.

Mahkamah bagaimanapun membenarkan tertuduh dilepaskan dengan jaminan RM50,000 bagi kedua-dua pertuduhan dan menetapkan 20 September depan untuk sebutan semula kes.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

859
Kongsi :
Previous post Sambut baik program RiVAC di Melaka
Next post Polis kenal pasti identiti empat anggota TUDM maut dalam kes tembakan
Ubah saiz-+=