Sambutan Pidato Rukun Negara di luar jangkaan
AYER KEROH 9 Sept. – Luar biasa! Itulah yang boleh disimpulkan mengenai sambutan penyertaan yang diterima dalam Pertandingan Pidato Rukun Negara Piala Pusingan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri yang baru sahaja melabuhkan tirainya malam tadi.
Pengerusi Program Datuk Noor Effandi Ahmad mengakui pada awalnya hanya meletakkan sasaran sekitar 60 peserta sahaja, namun sama sekali tidak menyangka berjaya mendapat keseluruhan 203 penyertaan daripada empat kategori yang dipertandingkan.
Katanya, program yang dianjurkan bersama Institut Tun Perak (ITP) itu bukan sahaja menepati objektif yang ditetapkan bahkan bakal menjadi satu fenomena baharu dalam sambutan Bulan Kebangsaan peringkat Negeri Melaka.
“Ini merupakan pertandingan pidato pertama uang kita adakan di Melaka dan kita hanya mempunyai masa tidak sampai dua bulan untuk menyahut seruan daripada TYT Tun untuk menjayakan program ini.
“Alhamdulillah dalam masa yang terhad kita dapat jayakan dan lebih mengejutkan sambutan penyertaan yang kita terima di luar jangkaan. Tambahan sekarang masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), tetapi sambutan yang kita terima tetap menggalakkan.
“Secara peribadi saya percaya objektif yang kita sasarkan untuk penganjuran ini telah tercapai dan yang paling penting kita dapat merealisasikan impian TYT Tun sendiri,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini selepas tamat pertandingan yang berlangsung di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) semalam.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif ITP Datuk Dr. Sabri Mohamad Sharif berkata, penyertaan yang diterima daripada peserta bukan berbangsa Melayu juga amat menggalakkan dalam edisi pertama penganjuran Pidato Rukun Negera itu.
“Kita boleh lihat, dua peserta dalam pusingan akhir adalah dari berbangsa India, malah seorang daripadanya munculn juara kategori Institut Pengajian Tinggi (IPT). Sebenarnya, banyak penyertaan dari bukan Melayu yang kita terima di peringkat saringan.
“Ini satu permulaan sebenarnya. Kita menyasarkan agar penyertaan bukan Melayu akan lebih meningkat pada edisi akan datang,” katanya.