Saran peniaga ambil terus bekalan ayam dari ladang

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat

BACHANG 24 Jun – Kerajaan negeri menyarankan mana-mana peniaga yang memerlukan bekalan ayam dalam kuantiti yang banyak perlu mengambil bekalan secara terus daripada peladang.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, ia bagi memastikan bekalan ayam mentah mencukupi untuk semua rakyat di negeri ini.

“Peniaga boleh dapatkan harga lebih baik atau murah kalau terus beli ayam dari peladang…contohnya di Huat Lai sendiri.

“Jadi bekalan ayam untuk orang biasa tidak akan berkurangan disebabkan peniaga-peniaga ini yang membeli dalam kuantiti besar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan di Pasar Besar MBMB di sini, hari ini.

Hadir sama EXCO Hal Ehwal Pengguna negeri, Ngwe Hee Sem; EXCO Kebajikan negeri, Datuk Kalsom Noordin dan Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Melaka, Norena Jaafar.

Mengulas lanjut, Sulaiman berkata pihaknya yakin bekalan ayam mentah di negeri ini mencukupi menjelang Julai depan biarpun harga kawalan bahan mentah itu telah berakhir.

“Huat Lai ni pengeluar ayam terbesar di Melaka, dia bukan hanya pengeluar di Melaka, dia juga supply (bekal) ke luar Melaka.

“Pengeluaran ayam ini secara berperingkat, tidak akan berlaku kekurangan ayam sebab peladang dah ada jadual yang ditetapkan,” katanya.

Mengikut rekod, sebanyak 4.2 juta ekor ayam dikeluarkan di negeri ini dalam tempoh sebulan, manakala secara purata lebih 51 juta ekor ayam dikeluarkan setahun melibatkan 114 peladang.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1372
Kongsi :
Previous post Pelapis bola sepak Melaka cemerlang, jadi rebutan
Next post KM ajak pembangkang duduk sekali bincang masalah banjir
Ubah saiz-+=