Sasar ‘ranking’ pendidikan Melaka meningkat – KM

Masa Membaca:1 Minit, 38 Saat

AYER KEROH 27 Januari – Penganjuran Program Motivasi Atas Talian ‘On Motivation’ diharap dapat membantu meningkat ‘ranking’ kecemerlangan pendidikan Melaka di peringkat nasional.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, program yang diadakan selama sehari pada hari ini disertai seramai 11,041 pelajar dari 73 buah sekolah seluruh negeri ini.

“Penganjuran program ini sangat baik khususnya melibatkan pakar motivasi atas talian yang terkenal iaitu Datuk Dr Mohd Fadzilah Kamsah yang menyampaikan ceramah motivasi untuk diterapkan para pelajar.

“Ini juga selari dengan matlamat untuk menyuntik dan memberi dorongan motivasi kepada semua calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 Negeri Melaka agar dapat melakukan yang terbaik seterusnya memperoleh keputusan cemerlang.

“Pencapaian itu sekali gus mampu menaikkan ‘ranking’ Negeri Melaka di peringkat nasional nanti, kita doakan semua calon SPM ini mendapat keputusan yang baik dan melonjakkan nama Melaka dalam sektor pendidikan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan Program Motivasi Atas Talian ‘On Motivation’ di Sekolah Sains Muzaffar Syah (MOZAC) di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Institut Tun Perak (ITP), Prof Dr Mohamad Ainudin Iskandar Lee Abdullah; Timbalan Pengarah Pembelajaran Jabatan Pendidikan Negeri Melaka (JPNM), Mohd Ghazali Ahmad dan Pengetua MOZAC Che Romas Noor.

photo_2023-01-27_14-20-32
Pelajar khusyuk mendengar ucapan pakar motivasi, Datuk Dr. Mohd Fadzilah Kamsah secara atas talian pada Program Motivasi Atas Talian SPM 2022 “On Motivation” di Dewan Sultan Muzaffar Syah, Sekolah Menengah Sains Muzaffar Syah (MOZAC), Ayer Keroh Melaka, Melaka. Foto: MR. AZLI

Mengulas lanjut, Sulaiman berkata Kerajaan Negeri komited meletakkan kepentingan pendidikan di peringkat lebih tinggi selaras dengan Pelan Strategik Melakaku Maju Jaya 2035 (PSMJ 2035) dalam konteks pendidikan.

“Sasaran Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) SPM untuk kali ini bagi Negeri Melaka adalah 4.81 berbanding 4.83 tahun lepas.

“Selepas ini akan ada lebih banyak program melibatkan semua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) diadakan membantu melonjakkan lagi ‘ranking’ Negeri Melaka dalam sektor pendidikan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1643
Kongsi :
Previous post 1,440 kemalangan direkod pada hari kesembilan Op Selamat 19
Next post Tiga sekeluarga ditahan disyaki edar ganja, heroin
Ubah saiz-+=