‘Saya bantu sebab saya pun pernah rasa susah’

Masa Membaca:2 Minit, 18 Saat
[smartslider3 slider=8]

 

BACHANG 23 Jan. – “Saya pernah rasa susah, tidur di hentian bas. Jadi saya faham keperitan yang dilalui Muhamad.”

Itu luahan pengurus sebuah Stesen Minyak Caltex di Bachang, Lee Chee Seng, 50, apabila kisahnya menggaji seorang gelandangan, Lester Muhamad Sufian, 40, yang tular di laman sosial, baru-baru ini.

Lee yang berkhidmat sebagai Pengurus Sumber Manusia mengakui hatinya tersentuh untuk membantu lelaki berasal dari Beaufort, Sabah itu selepas mendengar kisah hidupnya yang diibaratkan seperti ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’.

Menurutnya, kisah dikongsikan itu seolah mengimbau kepayahan hidupnya bersama lapan adik-beradik suatu masa dahulu hingga terpaksa berhenti sekolah dan bekerja seawal usia 14 tahun.

“Sejujurnya, saya memang sedang mencari seorang pekerja baharu dan tiba-tiba Muhamad muncul di sini. Pada awalnya, saya bercadang untuk menyuruhnya bekerja pada minggu berikutnya, tetapi selepas mendengar cerita dan melihat keadaannya yang datang ke sini sehelai sepinggang, saya rasa sebak.

“Sebab saya juga pernah berada di tempat itu dan itulah yang membuatkan saya terus mengambil dia bekerja serta-merta, memberinya makan dan menyediakan tempat tinggal,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini (MHI) di stesen minyak tersebut, hari ini.

Bapa kepada dua orang anak itu berkata, dia langsung tidak menyangka kisahnya yang dimuat naik di laman Facebook stesen minyak berkenaan menjadi tular secara tiba-tiba.

Bagaimanapun, dia menegaskan niatnya berkongsi kisah itu bukanlah mahu menunjuk-nunjuk kebaikan dilakukan, sebaliknya berhasrat memberi inspirasi kepada orang ramai supaya tidak takut untuk membantu, tambahan lagi apabila memikirkan ramai lagi yang terkesan dan hilang sumber pendapatan sepanjang pandemik COVID-19.

“Apabila kisah itu tular, ramai juga yang menghubungi saya dan bertanyakan keadaan Muhamad. Itu menunjukkan ramai sebenarnya rakyat di negara ini yang prihatin kesusahan individu tidak bernasib baik.

“Saya tidaklah menganggap diri saya sudah cukup baik kerana saya percaya ada individu yang lebih baik daripada saya. Tetapi sedikit sebanyak saya berharap apa yang saya lakukan dapat memberi inspirasi kepada lebih ramai orang di luar sana,” ujarnya.

Sementara itu, Muhamad yang ditemui di stesen minyak itu mengakui bersyukur apabila dipertemukan dengan Lee yang banyak membantunya sejak tiba di Melaka meskipun kedua-dua mereka tiada pertalian darah dan berlainan agama.

Dia yang masih bujang berkata, sebelum ini hidupnya merempat di sekitar Lembah Klang selepas hilang pekerjaan sebagai tukang cuci kira-kira sebulan yang lalu.

“Pada waktu itu memang saya hanya mengharapkan ihsan orang lain untuk membantu beri makanan dan sebagainya. Tapi selepas sekian lama hidup seperti itu, saya nekad mahu berubah dan mencari pekerjaan baharu.

“Awalnya saya berhasrat ke Pulau Pinang, namun wang yang ada hanya cukup untuk ke Melaka dan saya tidak sangka dipertemukan dengan insan mulia di sini yang membantu saya mendapatkan pekerjaan.

“Saya berjanji akan bekerja dengan bersungguh-sungguh dan tidak lagi kembali ke kehidupan lama mengharap belas ihsan orang lain,” katanya.

Views:

576
Kongsi :
Previous post Cili merah turun harga
Next post Dr Adham ‘tabik’ petugas barisan hadapan komited urus COVID-19
Ubah saiz-+=