‘Saya nak berehat dahulu’- Saiful

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat

BUKAN merajuk, apatah lagi berkecil hati dengan prestasi semasa pasukan menjadi punca peletakan jawatan Datuk Mohd Saiful Mat Sapri sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kelab Bolasepak Melaka United (MUFC).

Sebaliknya beliau menjelaskan, peletakan jawatan itu dilakukan setelah memikirkan sedalamnya demi memberi sepenuh perhatian kepada perniagaannya yang selama ini sedikit terabai.

Masa yang ada ini juga ujarnya, akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk beliau berehat seketika daripada arena bola sepak tanah air, melainkan jika khidmatnya diperlukan di suatu masa kelak.

“Tiada yang mengejutkan. Saya letak jawatan selepas mengadakan perbincangan bersama kepimpinan tertinggi. Bukan sebab merajuk juga bukan sebab kecewa dengan prestasi semasa pasukan yang tidak begitu memuaskan.

“Saya buat keputusan itu untuk memberi tumpuan kepada perniagaan dan buat masa sekarang, saya belum fikir untuk kembali duduk dalam industri bola sepak.

“Biarlah saya berehat dahulu buat seketika, melainkan jika Presiden MUSA (Persatuan Bolasepak Melaka United) memerlukan khidmat saya di masa akan datang, mungkin akan dipertimbangkan,” katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini.

Dalam pada itu, beliau sempat menitipkan doa buat MUFC agar terus cemerlang dan kekal beraksi dalam saingan Liga Super di bawah pengurusan baharu.

Beliau turut menzahirkan keyakinan skuad Hang Tuah mempunyai potensi besar untuk terus berkembang di masa akan datang dan mengharumkan nama Negeri Melaka.

“Tidak lupa, saya juga ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada seluruh penyokong MUFC yang sentiasa memberikan sokongan penuh di bawah kepimpinan saya sebelum ini.

“Saya berharap teruslah menyokong pasukan kesayangan kita.

“Walaupun tidak lagi bersama MUFC, saya akan sentiasa mendoakan pasukan agar terus cemerlang dan mendapatkan keputusan yang terbaik di masa-masa akan datang,” katanya lagi.

Untuk rekod, MUFC kini dipimpin Ketua Pegawai Eksekutif Kenteam Sdn Bhd, Datuk Seri Justin Lim yang akan memangku tugas selaku CEO MUFC sehingga tamat musim Liga Malaysia 2021.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

459
Kongsi :
Previous post Mangsa banjir di Melaka menurun kepada 273 orang pagi ini
Next post 46.7 peratus rakyat Melaka sudah mendaftar vaksin
Ubah saiz-+=