Perkasa sekolah tahfiz antara ikrar PN

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

SHAH ALAM 14 Nov – Aspek kesihatan mental dan jasmani, perumahan, kemudahan rekreasi serta pendidikan untuk setiap lapisan masyarakat diberi perhatian sepenuhnya dalam Keprihatinan Kepada Rakyat menerusi Ikrar Perikatan Nasional Untuk Melaka.

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, bagi membina bakat masa hadapan yang hebat dalam kalangan anak watan Melaka, pendidikan merupakan asas penting yang wajib diperteguhkan.

Beliau berkata, antara pendekatan Perikatan Nasional (PN) adalah dengan meningkatkan prestasi pendidikan rendah dan menengah serta meletakkan Melaka dalam ranking tiga negeri terbaik dalam pencapaian keputusan peperiksaan awam di Malaysia.

“Selain itu, Hab Pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) akan diwujudkan di Melaka melalui kerjasama dengan kementerian, agensi berkaitan dan pihak swasta tempatan serta antarabangsa.

“Kerajaan PN juga akan memberikan perhatian kepada pengurusan sekolah tahfiz. Bagi memastikan persekitaran yang kondusif, bantuan penyelenggaraan akan diberikan kepada semua sekolah tahfiz yang berdaftar di bawah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM),” katanya.

Menurut beliau, bantuan one-off sebanyak RM200 akan diberikan juga kepada guru tahfiz, guru KAFA dan juga guru tadika dibawah seliaan JAIM bagi menghargai jasa serta bakti mereka mendidik.

Muhyiddin berkata, golongan suri rumah juga, ibu tunggal dan orang kurang upaya (OKU) turut diberi perhatian.

“Pelbagai program bantuan, latihan kemahiran dan khidmat nasihat akan disediakan khususnya dalam memperkasakan dan mengoptimumkan penglibatan kumpulan sasar dalam aktiviti ekonomi serta sosial.

“Perhatian turut diberikan kepada koperasi usahawan wanita yang bergiat aktif dalam perusahaan mikro, kecil dan sederhana selain Dewan Undangan Negeri Belia Melaka akan diwujudkan bagi membina serta menggilap generasi pemimpin masa depan,” katanya.

Beliau berkata, bagi meringankan impak pasca COVID-19, bayaran lesen perniagaan dan bayaran sewa tapak kepada penjaja serta peniaga kecil akan dikurangkan.

“PN menyedari dalam tempoh yang sukar ini perbelanjaan untuk menyambut kelahiran anak juga memberi kesan oleh itu bantuan one-off sebanyak RM200 akan diberikan kepada semua anak yang dilahirkan di Melaka pada 2021,” katanya.

Views:

1105
Kongsi :
Previous post Ikrar PN mahu rancakkan kembali industri pelancongan Melaka
Next post Ikrar PN perkasa perkhidmatan awam melalui pendigitalan
Ubah saiz-+=