Selamba minum, melepak di kedai makan

Masa Membaca:1 Minit, 13 Saat

BUKIT KATIL 18 Mei. – Walaupun dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 (PKP 3.0), masih ada dalam kalangan orang ramai mengingkari prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan termasuk makan dan minum serta melepak di kedai makan.

Tinjauan Melaka Hari Ini (MHI) di Kampung Tun Razak, di sini, mendapati ada individu mengabaikan SOP tidak membenarkan aktiviti berkumpul serta makan di kedai.

Berdasarkan pemerhatian kira-kira jam 10 pagi tadi, tidak kurang lapan individu dengan selamba makan dan minum dalam kumpulan kecil di sebuah gerai makan.

Walaupun, makanan dan minuman yang dibeli telah dibungkuskan namun, mereka tetap memilih untuk duduk di meja gerai berkenaan, malah ada yang rancak bersembang sambil menghisap rokok.

Paling membimbangkan, rata-rata mereka terdiri dalam kalangan warga emas, iaitu kumpulan yang paling berisiko sekiranya dijangkiti wabak COVID-19.

Situasi sama dikesan di sebuah medan selera di Jalan Bukit Katil yang memperlihatkan terdapat individu makan dan minum di dalam gerai tanpa menghiraukan orang ramai.

Berdasarkan pemerhatian, rata-rata mereka menjadikan kedai atau gerai makan di ceruk-ceruk kampung sebagai tempat untuk berkumpul dan melepak bagi mengelakkan daripada dikesan pihak berkuasa.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Antidadah negeri Datuk Rahmad Mariman ketika dihubungi, menasihati orang ramai tidak melanggar arahan ditetapkan memandangkan jangkitan di negeri ini masih lagi tinggi.

Beliau memaklumkan, pihaknya akan mengarahkan penguat kuasa kesihatan membuat pemantauan di kawasan berkenaan dan sekiranya didapati melanggar SOP, kompaun maksimum sehingga RM2,000 boleh dikenakan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

511
Kongsi :
Previous post Tabung Bantuan Kemanusiaan Sungai Rambai kumpul RM5,000
Next post Polis Sabah tembak mati lima anggota kumpulan pengganas Abu Sayyaf di Beaufort
Ubah saiz-+=