Selami sejarah ulung perjuangan kemerdekaan negara- Sulaiman

Masa Membaca:1 Minit, 1 Saat

AYER KEROH 30 Ogos – Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali mahu setiap lapisan masyarakat khususnya di Melaka terus mengingati dan menghayati sejarah ulung perjuangan memerdekakan negara.

Menerusi catatan di Facebook rasminya hari ini, Sulaiman berkata, perkara itu antara tujuan utama diadakan sambutan Hari Kebangsaan pada setiap tahun.

“….tidak lain tidak bukan untuk mengajak semua rakyat Malaysia lebih mengingati dan mendalami sejarah ulung perjuangan serta mensyukuri nikmat kemerdekaan yang telah dikecapi oleh negara kita sejak tahun 1957,” katanya sempena sambutan Hari Kemerdekaan negara ke-64 esok.

Menurut Sulaiman, kemerdekaan sesebuah negara dapat dijamin teguh berdiri apabila berpangkal pada kemerdekaan jiwa.

“Sesungguhnya, ini (sambutan kemerdekaan) adalah satu-satunya perayaan yang dimiliki oleh kita semua tanpa mengira bangsa dan latar belakang agama.

“Semangat dari kemerdekaan ini perlu kita garap menjadi inspirasi dalam memelihara kerukunan, keharmonian, kemakmuran dan perpaduan dalam kalangan masyarakat negara dan negeri Melaka khususnya,” katanya.

Sehubungan itu beliau juga mengajak rakyat di negeri ini bersama-sama menzahirkan semangat patriotik melalui kibaran Jalur Gemilang di setiap kediaman, premis, tempat kerja dan kenderaan masing-masing.

“Jom kibarkan Jalur Gemilang kebanggaan kita bagi menyemarakkan lagi sambutan Bulan Kebangsaan dengan semangat ‘Malaysia Prihatin’ dan ‘Keluarga Malaysia’,” katanya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

709
Kongsi :
Previous post Hampir semua persatuan penggiat pelancongan Melaka catat 90 peratus kadar vaksinasi lengkap
Next post ‘Melaka Munajat’ serikan sambutan Hari Kemerdekaan
Ubah saiz-+=