Selawat ke atas Nabi Muhammad SAW bergema di Masjid MITC

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

AYER KEROH 14 November – Alunan selawat dan qasidah ke atas Nabi Muhammad SAW bergema di pekarangan Masjid Al Alami, Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini malam tadi.

Semangat memperkukuh kecintaan ke atas Rasulullah  dapat dibuktikan dengan kehadiran lebih 1,000 umat Islam menerusi Program Hang Tuah Jaya Berselawat.

Program anjuran Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) bersama beberapa agensi lain turut diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam.

Beliau yang tiba kira-kira jam 8.30 malam tadi telah disambut oleh Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman; Mufti Kerajaan Negeri, Datuk Wira Abdul Halim Tawil; Pengerusi Yayasan DMDI, Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali serta tetamu lain.

Terdahulu, seawal jam 6.30 petang tadi umat Islam mula memenuhi pekarangan masjid berkenaan sebelum dimulakan acara dengan zikir dan munajat oleh Sheikh Abdul Karim Al-Makki.

Img 2996
Orang ramai yang hadir pada Program Hang Tuah Jaya Berselawat Bersama Ustaz Dr. Das’ad Latif di perkarangan Masjid Al-Alami, Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka, Ayer Keroh, Melaka. Foto: MR. AZLI

Acara diteruskan dengan Solat Maghrib berjemaah disusuli bacaan Ratib Al Attas dan Asmaul Husna oleh pendakwah, Ustaz Sayyid Arsyid sebelum Solat Isyak berjemaah diimamkan Sheikh Abdul Karim.

Kemuncak acara disusuli dengan ceramah daripada pendakwah Indonesia terkenal, Ustaz Dr. Das’ad Latif.

Sebelum melabuhkan tirai, kesemua tetamu jemputan turut membimbing bacaan qasidah dan maulid qiyam di pentas utama dengan iringan daripada kumpulan Firqah Al Massarah disusuli dengan bacaan doa penutupan majlis dipimpin oleh Abdul Halim.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3362
Kongsi :
Previous post Aliran trafik di lebuh raya perlahan petang ini
Next post Kutipan RM16,529 Tabung Kemanusiaan Palestin selamat disalurkan
Ubah saiz-+=