Semakin ramai penagih dadah pulih

Masa Membaca:1 Minit, 8 Saat

PANTAI KUNDOR 24 Februari – Trend penagih dadah pulih menerusi Program Rawatan dan Pemulihan Dalam Komuniti (RPDK) meningkat apabila seramai 14,890 penagih direkodkan telah pulih sepenuhnya sepanjang tahun lalu.

Jumlah itu daripada 19,820 yang dinilai dan ia menunjukkan peratusan kadar pemulihan 75 peratus, meningkat berbanding 72.1 peratus pada 2022.

Ketua Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Sutekno Ahmad Belon berkata, setakat ini seramai 65,372 penagih dadah direkodkan sedang menerima program RPDK di seluruh negara.

“Ini bermakna, AADK berjaya menyahut cabaran Menteri Dalam Negeri dengan mengatasi kadar sasaran awal bagi petunjuk prestasi utama (KPI) ini iaitu sebanyak 75 peratus.

“Pencapaian ini dinilai menerusi kaedah Cure and Care Recovery Index (CCRI) dan berjaya mencapai KPI yang ditetapkan kerana semua yang terlibat khususnya kumpulan pelaksana di lapangan.

“AADK turut menetapkan sasaran Dadah Terkawal menjelang tahun 2025 adalah sebanyak 400 orang bagi setiap 100,000 penduduk,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media program Walkabout Perdana sempena Peringatan Hari Anti Dadah 2024 di Pantai Puteri, di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Ngwe Hee Sem.

Mengulas lanjut Sutekno berkata, AADK menyasarkan sebanyak 76 peratus kadar penagih dadah kekal pulih menjelang hujung tahun ini.

Menurutnya, antara fokus utama ialah menurunkan kadar penagih dadah dan seterusnya meningkatkan kadar kepulihan sehingga 80 peratus menjelang 2025.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

671
Kongsi :
Previous post Memancing di Sungai Melaka layak sertai cabutan bertuah TMM2024
Next post Sasar satu juta sertai Skuad AADK
Ubah saiz-+=