Seorang maut, seorang parah akibat bahan letupan buatan sendiri

Masa Membaca:1 Minit, 0 Saat

SIBU 10 Jun – Seorang penunggang motosikal maut manakala pemboncengnya cedera parah selepas sejenis bahan letupan yang dibawa mereka meletup dalam kejadian berhampiran rumah panjang di Jalan Sungai Pidi, Meradong petang semalam.

Ketua Polis Daerah Meradong Deputi Superintendan Sekam Anoi berkata, Lawrence Lujang, 23, mati di tempat kejadian manakala pemboncengnya yang dikenal pasti sebagai Ching Lamba, 53, cedera parah di bahagian kaki serta paha, dan kini dirawat di Hospital Sarikei.

“Polis telah menerima panggilan daripada orang awam pada kira-kira 6.24 petang, memaklumkan telah mendengar bunyi letupan kuat di jalan itu yang menuju ke rumah panjang Mandau di Bakong,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Meradong Deputi Superintendan Sekam Anoi. Foto FB IPD Meradong.

Menurutnya, siasatan awal mendapati bahan letupan yang dibawa kedua-dua lelaki berkenaan merupakan buatan sendiri dan dipercayai digunakan untuk memburu binatang di hutan berdekatan.

“Siasatan masih dijalankan untuk mengenal pasti jenis dan cara buatan bahan letupan berkenaan.

“Polis memandang serius perbuatan ini yang bukan sahaja membahayakan diri sendiri tetapi juga orang ramai,” katanya, menambah kes disiasat menurut Seksyen 5 Akta Bahan Letupan 1957.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

503
Kongsi :
Previous post Pekebun kecil tanaman sawit tidak untung ‘besar’ harga sawit naik
Next post Calon SPM 2020 individu hebat, duduki peperiksaan dalam pandemik COVID-19
Ubah saiz-+=