Seronok tidur dengan ‘Hang Tuah’

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

DUYONG 23 September – Pengalaman bermalam di muzium dikelilingi artifak tinggalan sejarah pahlawan negara pastinya cukup bermakna apatah lagi buat mereka yang baru kali pertama melangkah masuk ke bangunan bersejarah itu.

Reaksi teruja dan seronok menjadi antara bait-bait yang diungkapkan peserta Bermalam di Muzium Hang Tuah di Duyong ketika ditemui Melaka Hari Ini.

Salah seorang peserta Syahmir Idzuan Mohd Aznan, 16 tahun berkata, pengalaman kali pertama itu membuatkan dia teruja kerana dapat mempelajari sejarah dengan suasana baharu di luar waktu persekolahan.

“Saya rasa muzium ini tempat yang ‘best’ sebab boleh tengok bahan-bahan bersejarah, pahlawan-pahlawan negara dekat sini.

“Pada masa sama, saya dapat meluangkan masa dengan kawan-kawan dan belajar tentang sejarah bersama-sama mereka,” katanya.

IMG_20230923_140950_187
ANTARA peserta Bermalam Di Muzium. Foto: MR. AZLI

Nada sama disuarakan Mohd Faris Mohd Fadli yang menyifatkan peluang bermalam di muzium itu sangat menyeronokkan biarpun sebelum ini dia sering ‘dimomokkan’ dengan kisah-kisah seram.

“Kenapa saya perlu takut? Ramai kawan-kawan ikut sekali dan saya pun boleh berjumpa kawan baharu.

“Sejarah ini mata pelajaran kegemaran saya. Inilah masanya saya dapat menambah ilmu pengetahuan tentang sejarah negeri Melaka” katanya.

IMG_20230923_140926_246
MOHD FARIS

Amin Azmeer Mohd Feeruz Huzlee Abdul Haqq, 14, pula menyifatkan program berkenaan amat baik dalam mendekatkan remaja sepertinya dengan sejarah bukannya tertumpu kepada permainan gajet setiap masa.

“Selalunya sebelum tidur, kita banyak membuang masa bermain permainan video tetapi malam ini saya akan melihat sekeliling banyak kisah-kisah dan replika pahlawan,” katanya.

Untuk rekod, Program Bermalam Di Muzium melibatkan penyertaan keseluruhan seramai 1,551 peserta terdiri daripada pelajar sekolah menengah di 25 muzium seluruh negara.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

5876
Kongsi :
Previous post Pantai Puteri bertambah ceria sempena TMM2024
Next post Galak lebih banyak entiti jalin kerjasama dengan Zoo Melaka
Ubah saiz-+=