Setahun Pentadbiran Kerajaan Negeri: 60 inisiatif sentuhan rakyat berjaya dilaksanakan

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

AYER KEROH 5 April – Dalam tempoh setahun pentadbiran Kerajaan Negeri, sebanyak 60 inisiatif berjaya dilaksanakan untuk rakyat Melaka.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, inisiatif tersebut merangkumi pelbagai sektor antaranya pelaburan, perindustrian, pelancongan dan sosioekonomi rakyat.

Jelas Ab Rauf, antara kejayaan yang berjaya dicapai ialah menarik lebih banyak pelaburan baharu dan penambahan pelaburan sedia ada melibatkan syarikat-syarikat dari seluruh dunia.

Dalam sudut pelancongan pula, ujar Ketua Menteri Kerajaan Negeri telah menerima peruntukan RM50 juta daripada Pertubuhan Pendidikan Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) bagi pemuliharaan dan pemeliharaan bangunan lama di bandar warisan dunia.

“Kita juga telah melancarkan beberapa promosi untuk menjadikan Melaka antara destinasi tarikan pelancongan dunia. Kehadiran pelancong-pelancong ini dapat dirasai kerana kebanyakan hotel-hotel di Melaka menerima peningkatan tempahan bilik.

“Selain itu, kita juga ada pelbagai program menarik dan pendekatan baharu untuk menarik pengunjung serta pelancong ke Melaka setiap bulan dengan menawarkan 10 kereta sebagai hadiah cabutan bertuah sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan amanat pada Majlis Mensyukuri Setahun Pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Zaidi Johari; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri, ketua-ketua jabatan dan agensi serta lain-lain kenamaan.

Ditanya, sama ada setahun pentadbiran itu boleh dianggap sebagai cemerlang, Ab Rauf menyerahkan ukuran pencapaian itu kepada rakyat.

“Saya tidak boleh kata cemerlang atau tidak, tetapi rakyat dapat menilai pencapaian ini kerana keberhasilan daripada pentadbiran ini dengan kerjasama semua Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) dan semua dapat dirasai oleh rakyat di negeri ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

96
Kongsi :
Previous post Dua beradik antara tiga lelaki didakwa rompak berkumpulan guna tukul besi
Next post Aidilfitri: Parkir percuma selama seminggu di Melaka
Ubah saiz-+=