Aidilfitri: Parkir percuma selama seminggu di Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 56 Saat

AYER KEROH 5 April – Parkir percuma selama seminggu merupakan insentif khas sentuhan Aidilfitri diumumkan Kerajaan Negeri pada Majlis Mensyukuri Setahun Pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, insentif khas parkir percuma itu akan bermula 10 April hingga 16 April membabitkan kesemua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Negeri Melaka dengan melibatkan implikasi kewangan berjumlah RM457,000.

Selain itu, kata Ab Rauf, Kerajaan Negeri turut mengumumkan pengurangan kadar kompaun letak kereta bagi pengeluaran kompaun tahun 2020 hingga 2023 dalam tempoh pembayaran 6 April hingga 30 April 2024 dengan implikasi kewangan berjumlah RM4.248 juta.

“Ketiga, penangguhan aktiviti pemotongan bekalan oleh pihak Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) hingga 23 April 2024. Inisiatif ini melibatkan 102,686 akaun berdaftar dengan jumlah tunggakan bil air hampir RM6 juta.

“Kawasan Car Free Zone juga akan ditutup awal iaitu bermula 5 April hingga 12 April 2024 dan bermula tahun 2025, Kerajaan Negeri mencadangkan cuti umum ditambah daripada dua hari menjadi tiga hari menggantikan cuti sempena 1 Ramadan yang dilaksanakan setiap tahun.

“Saya berharap inisiatif-inisiatif ini dapat meringankan bebanan rakyat sempena meraikan hari lebaran bersama sanak saudara dan sahabat handai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap menyampaikan amanat pada Majlis Mensyukuri Setahun Pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Zaidi Johari; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri, ketua-ketua jabatan dan agensi serta lain-lain kenamaan.

Menurut Ketua Menteri, sepanjang tahun ini, Melaka bakal menjadi tumpuan dalam beberapa acara besar, antaranya Majlis Sambutan Aidilfitri Madani 2024 pada 22 April 2024 di MITC, Ayer Keroh bakal dihadiri oleh Perdana Menteri Malaysia.

“Seterusnya, pada bulan Mei atau Jun 2024, Negeri Melaka akan menerima keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim. Ini merupakan suatu penghormatan terbesar buat bumi Melaka.

“Insya-Allah, banyak lagi acara-acara besar yang bakal diadakan di Melaka terutamanya sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024). Saya berharap semua jabatan dan agensi terlibat dapat bersiap sedia untuk melaksanakannya dengan teratur dan amat baik,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

674
Kongsi :
Previous post Setahun Pentadbiran Kerajaan Negeri: 60 inisiatif sentuhan rakyat berjaya dilaksanakan
Next post ‘Saya bekerja bersama insan terbaik membangunkan Melaka’ – KM
Ubah saiz-+=