Sewa kereta hantar bekalan dadah bernilai lebih RM600,000

Masa Membaca:1 Minit, 10 Saat

BANDA HILIR 15 September – Tiga lelaki yang disyaki terlibat dalam sindiket pengedaran dadah ke luar negara ditahan polis bersama dadah bernilai RM672,838, pada Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kesemua suspek lelaki tempatan berusia antara 26 hingga 27 tahun yang berasal dari Selangor itu ditahan di dalam sebuah kereta di Padang Temu dalam keadaan mencurigakan kira-kira jam 1.30 petang.

Katanya, pemeriksaan terhadap kereta berkenaan menemukan dadah jenis methamphetamine seberat 20.38 kilogram diletakkan dalam kenderaan tersebut.

“Siasatan lanjut mendapati ketiga-tiga suspek bekerja sebagai penghantar barang dan menggunakan kenderaan sewa jenis Perodua Bezza untuk menghantar bekalan.

“Sindiket pengedaran dadah itu dipercayai bergiat aktif sejak awal tahun 2023 dan dadah yang dirampas itu adalah untuk pasaran luar negara yang boleh digunakan seramai 101,930 penagi,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, nilai keseluruhan rampasan dadah dan sitaan harta keseluruhannya bernilai RM707,838.

“Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati ketiga-tiga individu ini negatif dadah, namun dua individu mempunyai rekod jenayah lampau.

“Ketiga-tiga suspek direman tujuh hari bermula semalam sehingga Rabu depan bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Dalam pada itu, Christopher berkata, orang ramai diingatkan untuk menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah yang berlaku di sekeliling mereka melalui hotline JSJN di talian 012-2087222.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1322
Kongsi :
Previous post Wujudkan galeri sejarah kenali asal usul, tokoh sekolah
Next post Nahas pesawat di Elmina: Tiada bukti ketidakupayaan juruterbang jadi punca nahas – Laporan awal AAIB
Ubah saiz-+=