Wujudkan galeri sejarah kenali asal usul, tokoh sekolah

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

BUKIT KATIL 15 September – Semua sekolah di negeri ini digalakkan untuk mewujudkan galeri sejarah sekolah bagi memperingati asal usul dan tokoh sejarah penubuhan sesebuah sekolah itu.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, inisiatif itu juga merupakan salah satu cetusan idea Ketua Menteri Melaka dalam melestarikan nama-nama sekolah di negeri ini.

“Alhamdulillah hari ini Sekolah Kebangsaan (SK) Dato’ Demang Hussin mengambil inisiatif mewujudkan galeri sejarah di sekolahnya, saya yakin galeri ini menjadi rujukan kepada murid-murid termasuk penduduk luar untuk tahu tentang tokoh sejarah sekolah ini.

“Justeru, sekolah-sekolah yang lain juga perlu mengambil inisiatif yang sama mewujudkan galeri sejarah di sekolah masing-masing sekali gus melestarikan nama-nama tokoh sekolah mereka.

“Tahniah dan syabas kepada sekolah laksanakan inisiatif ini dan saya percaya ia memerlukan usaha dan masa yang lama kerana perlu membuat kajian terperinci tentang tokoh sejarah sekolah tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Melaka Hari Ini pada Majlis Reminisensi Sejuta Kasih dan perasmian Galeri Sejarah Tokoh Demang Hussin di sekolah berkenaan di sini, hari ini.

Hadir sama Presiden Majlis Gabungan Belia Melaka, Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali; Guru Besar SK Dato’ Demang Hussin, Jamilah Ishak dan waris Demang Hussin iaitu Datuk Malek Hussin.

Katanya, kewujudan galeri sejarah itu sudah pasti memberi peluang kepada murid-murid untuk menceritakan tentang sejarah sekolah mereka kepada masyarakat setempat.

“Jika sebelum ini ramai tidak tahu nama-nama tokoh yang digunakan sekolah mereka, tetapi selepas ini murid-murid sekolah itu sendiri boleh menceritakan kepada orang ramai tokoh yang ada di sekolah mereka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1798
Kongsi :
Previous post ‘Light Saber’ pertama di Malaysia ceriakan TMM2024
Next post Sewa kereta hantar bekalan dadah bernilai lebih RM600,000
Ubah saiz-+=