‘Light Saber’ pertama di Malaysia ceriakan TMM2024

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

PAYA RUMPUT 15 September – Inovasi lampu isyarat ‘Light Saber’ yang pertama kali diperkenalkan di Jalan Perindustrian Ayer Keroh mampu menambahkan lagi keceriaan sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Melaka, Datuk Ir. Ismail Abd Rahman berkata, lampu isyarat yang dipasang dengan lampu diod pemancar cahaya (LED) pada tiang ternyata merupakan lampu isyarat berinovasi pertama kali diperkenalkan di negara ini.

Beliau berkata, selain daripada menerapkan aspek keselamatan hasil inovasi dijalankan Unit Cawangan Elektrik JKR itu, ia mampu membawa tarikan baharu bagi menceriakan Melaka sempena TMM2024 tahun hadapan.

“Lampu isyarat diberi nama ‘Light Saber’ ini pertama kali diperkenalkan di Ayer Keroh di mana selain keceriaan ia mampu meningkatkan aspek keselamatan pengguna jalan raya kerana sekurang-kurangnya ia membantu pengguna peka dengan cahaya lampu isyarat daripada tersasar dan melanggari isyarat lampu.

“Ini adalah pertama kali kita laksanakan dan ia masih lagi dalam tempoh percubaan. JKR sedang menilai pelaksanaan ini (sama ada) mampu memberi kesan dan respon positif kepada pengguna atau sebaliknya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri lawatan bersama Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh meninjau pelaksanaan projek rintis ‘No Right Turn’ di Taman Paya Rumput Utama, di sini hari ini.

light saber
‘Light Saber’ pada waktu malam.

Hadir sama, Exco Kanan Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin, Timbalan Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Zahari Abd Kalil dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Shadan Othman serta tetamu lain.

Mengulas lanjut, beliau berkata pihaknya menyasarkan akan memasang lebih banyak ‘Light Saber’ di Melaka bagi tujuan keceriaan di beberapa lokasi tumpuan pelancongan di negeri ini.

“Kita akan kaji kerana ini akan membantu menambah keceriaan TMM2024 dan kita sasarkan ia akan dipasang di sekitar persimpangan pintu masuk utama di sekitar negeri ini.

“Setakat ini hasil pemantauan JKR menerusi media sosial menerima respon positif dalam kalangan pengguna jalan raya,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

4168
Kongsi :
Previous post Kajian ‘No Right Turn’ dalam tempoh sebulan
Next post Wujudkan galeri sejarah kenali asal usul, tokoh sekolah
Ubah saiz-+=