Kajian ‘No Right Turn’ dalam tempoh sebulan

Masa Membaca:1 Minit, 38 Saat

PAYA RUMPUT 15 September – Sekurang-kurangnya tempoh masa sebulan akan diambil bagi menjalankan kajian projek rintis ‘No Right Turn’ di persimpangan Stadium Hang Jebat, Lebuh Sungai Udang-Paya Rumput-Ayer Keroh (SPA), di sini.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, dalam tempoh itu segala maklum balas akan diambil perhatian bagi memastikan projek tersebut berjalan lancar dan membantu melancarkan penyuraian trafik.

Selain itu katanya, Kerajaan Negeri turut akan memastikan pembukaan laluan baharu di sekitar Taman Paya Rumput Utama akan memberi limpahan ekonomi buat peniaga di sekitar kawasan berkenaan.

“Saya akan memastikan bahawa semua kaedah ini akan memberikan pulangan yang baik kepada semua masyarakat khususnya pengguna jalan raya dan para peniaga di sekitar kawasan ini.

“Kita dapati kawasan yang dahulu tidak begitu ceria tetapi dengan penutupan di persimpangan dan pembukaan laluan baharu ini mampu melonjakkan ekonomi peniaga di kawasan ini.

“Insya-Allah kita akan ambil tempoh sebulan untuk laksanakan kajian berhubung perlaksanaan ini dan kita juga akan menilai setiap maklum balas yang diterima untuk memastikan kaedah ini memberi kesan kepada penduduk, peniaga dan pengguna jalan raya yang lalu di kawasan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melakukan lawatan pelaksanaan projek rintis ‘No Right Turn’ di Taman Paya Rumput Utama, di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Kanan Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin; Timbalan Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Zahari Abd Kalil; Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Melaka, Datuk Ir. Ismail Abd Rahman serta tetamu lain.

Terdahulu, pada lawatan seawal jam 6.15 pagi tadi, Ab Rauf meninjau pelaksanaan ‘No Right Turn’ di Persimpangan Stadium Hang Jebat selepas lima hari pelaksanaan.

Ab Rauf berkata, pihaknya berpuas hati dengan perlaksanaan projek rintis terbabit yang membantu melancarkan aliran trafik berbanding sebelum ini.

Kata beliau, penambahbaikan akan terus dilakukan bagi memberi manfaat bukan sahaja kepada pengguna jalan raya, bahkan peniaga dan penduduk di kawasan itu.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3630
Kongsi :
Previous post JPJ Melaka sita 33 motosikal, keluarkan 190 notis pelbagai kesalahan
Next post ‘Light Saber’ pertama di Malaysia ceriakan TMM2024
Ubah saiz-+=